SERDANG: Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di bawah Pejabat Perdana Menteri telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatatkan lebih sejuta penyertaan peserta dalam tempoh sebulan melalui Program Bicara Kenegaraan.
AKM dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Rekod ini adalah hasil sokongan padu rakyat negara ini dan menjadi bukti semangat kenegaraan tetap utuh serta terus berkembang seiring aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan rasmi tersebut.
Pengiktirafan MBOR disampaikan secara rasmi pada upacara kemuncak Program Citra Apresiasi Aku Kasih Malaysia yang diadakan khusus bagi menghargai sokongan rakyat terhadap inisiatif kenegaraan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.
Ketua Pengarah AKM Datuk Dr Roslan Hussin semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut di sebuah pusat membeli-belah di sini menyatakan bahawa penganjuran program ini merupakan medium terbaik untuk mendekatkan institusi tersebut dengan komuniti.
“AKM ditubuhkan untuk rakyat Malaysia bagi mengangkat semangat kecintaan kepada negara melalui program yang membabitkan penyertaan semua pihak agar Hari Kebangsaan menjadi aspirasi bersama.
“Ia merupakan usaha kecil kami di AKM bagi memastikan keharmonian dapat dikekalkan antaranya menerusi kesenian sebagai medium penyampaian yang berkesan,” katanya.
Program tersebut turut disemarakkan dengan pertandingan akhir Pantomim Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang menampilkan kreativiti peserta dalam mengangkat mesej kecintaan kepada tanah air.
Turut berlangsung dalam program tersebut ialah penyampaian hadiah Ekspresi Merdeka: Video Kreatif Peringkat Kebangsaan yang menonjolkan bakat muda dalam penghasilan karya digital untuk dipaparkan di media sosial AKM. – Bernama