Malaysia Oversight

Keretapi Sarong sekali lagi warnai Hari Malaysia dengan tema serumpun

By MkiniBM in September 13, 2025 – Reading time 2 minute
Keretapi Sarong sekali lagi warnai Hari Malaysia dengan tema serumpun


Keretapi Sarong 2025 kembali menghangatkan sambutan Hari Malaysia ke-62 dengan suasana penuh warna-warni, menghimpunkan begitu ramai peserta daripada pelbagai latar belakang.

Dengan tema ‘serumpun’, edisi kesembilan acara ikonik ini bukan sekadar meraikan keindahan kain sarung sebagai warisan, tetapi turut memperluaskan mesej perpaduan ke peringkat serantau — selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini.

Menurut Pengarah Program Keretapi Sarong 2025 Shamsul Bahrin Zainuzzaman, tema tahun ini mengangkat kekayaan warisan budaya Nusantara yang saling berkait rapat, mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dengan negara-negara jiran. 

b10ef6ef9291a7af3be0ff762ec9d04e

Ia mengangkat sarung sebagai simbol penyatuan dan identiti kolektif rantau ini, selain menekankan nilai persaudaraan yang merentasi sempadan, bangsa, dan bahasa, katanya.

Tarian rakyat serikan perjalanan

Seperti kelaziman, peserta berkumpul di 11 lokasi sekitar Lembah Klang — antaranya KL Sentral, Subang Jaya, Kajang, Ampang, Sentral dan MRT UPM — sebelum bergerak bersama menaiki tren. 

Mereka tampil kreatif dengan pakaian tradisional lengkap bersama aksesori budaya masing-masing.

Antara detik yang mencuri tumpuan ialah di MRT UPM apabila peserta mengadakan flashmob tarian tradisional secara spontan, termasuk zapin, poco-poco dan joget lambak. Suasana menjadi riuh, inklusif, dan sarat semangat kebersamaan.

ddc638edc3f5b671d0b089dd0c3e9013

Lebih istimewa, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing turut turun padang memeriahkan acara dengan menyertai peserta menari tarian tradisional Sarawak. 

Kehadirannya disambut sorakan dan tepukan, melambangkan keterbukaan kepimpinan dalam mendukung warisan budaya rakyat.

1c8ee4d729f323975a9844779cfded1a

TRX jadi destinasi rahsia

Mengikut tradisi Keretapi Sarong, lokasi penamat hanya didedahkan semasa perjalanan. Tahun ini, peserta akhirnya menuju ke Tun Razak Exchange (TRX) — mercu tanda moden ibu kota yang dipilih sebagai simbol keseimbangan antara pembangunan dan warisan budaya.

Di TRX, pelbagai aktiviti menanti termasuk persembahan muzik rakyat, bazar seni tempatan, serta ruang interaktif mempamerkan kepelbagaian budaya Malaysia dan Asean.

Jenama tempatan seperti ZUS Coffee, Maggie dan Gardenia turut menyemarakkan acara dengan mengagihkan minuman dan makanan percuma. Aroma kopi segar, roti panas dan mi segera yang dimasak di lokasi memberi sentuhan mesra rakyat.

d1d18fe5930649082de56552e5b501a7

Bukan sekadar sehelai kain

Keretapi Sarong 2025 membuktikan bahawa Malaysia kaya dengan kepelbagaian — kaum, agama, bahasa, seni, tradisi dan gaya hidup. 

Kepelbagaian ini diraikan secara terbuka dan kreatif, menjadikan sarung yang dulunya pakaian harian sebagai simbol perpaduan, kebanggaan dan kebersamaan.

Dengan sambutan yang kian hangat saban tahun, Keretapi Sarong bukan lagi sekadar acara budaya, tetapi telah berkembang menjadi sebuah gerakan masyarakat yang menyatukan generasi lama dan baru dalam satu irama — Irama Serumpun.

51af012ee06d9ac8fea7a8658c05bf82



Source link