Malaysia Oversight

SPRM tahan pasangan Imigresen, rampas emas RM1.4 juta

By MkiniBM in September 13, 2025 – Reading time 2 minute
SPRM tahan pasangan Imigresen, rampas emas RM1.4 juta


Pasangan suami isteri yang merupakan pegawai Jabatan Imigresen didakwa menjadikan rasuah sebagai punca pendapatan sampingan lumayan, dengan mengutip sogokan dan membuka kedai barang kemas dengan barangan emas berjumlah RM1.4 juta.

Menurut SPRM, pasangan berusia 40-an itu adalah “pemain utama” dalam sindiket counter setting yang membenarkan warga asing tanpa dokumen sah memasuki Malaysia.

Dalam video yang dimuat naik di laman TikTok rasmi SPRM hari ini, suruhanjaya itu mendedahkan bahawa pasangan itu didakwa menggunakan dana haram sejak 2020 untuk membuka kedai barang kemas tersebut, menggunakan adik-beradik isteri dan anak mereka sebagai proksi. 

Kedai itu dilaporkan mempunyai modal permulaan sebanyak RM600,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata siasatan mendapati pasangan itu terlibat dalam program pemutihan pekerja asing yang bertujuan memberi peluang kepada majikan untuk mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa dokumen.

“Setelah melepasi peringkat awal saringan, majikan yang mempunyai fail-fail warga asing perlu membawa fail berkenaan kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen lengkap sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

“Bagaimanapun bagi mempercepatkan proses berkenaan daripada tujuh hari kepada hanya tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap pekerja asing,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata suspek mengaut RM150 bagi setiap pekerja, manakala bakinya didakwa diagihkan kepada pegawai lain yang mengendalikan fail tersebut.

“Dalam tempoh empat tahun sejak 2020, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira RM900,000, yang gunakan untuk membuka kedai emas dan selebihnya membeli sebuah kereta mewah,” katanya.

Dia turut mengesahkan bahawa semasa serbuan di sebuah kedai barang kemas di Pahang, SPRM telah merampas tiga kilogram emas bernilai kira-kira RM1.4 juta.

“Melalui Ops Dygo, SPRM telah menahan reman sepasang suami isteri berusia 40-an itu selama lima hari bermula 10 sehingga 14 September setelah Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka membenarkan permohonan reman SPRM. 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya lagi.



Source link