IPOH: Tiada keperluan untuk memansuhkan program matrikulasi bagi kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berpendapat, cadangan memansuhkan program itu adalah tidak wajar sebaliknya penambahbaikan boleh dilakukan terhadap program berkenaan mengikut keperluan semasa.
“Bagi pandangan saya mahupun AMK, sistem sedia ada (bagi kemasukan ke universiti awam) tiada masalah dan boleh diteruskan. Ini kerana matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), masing-masing ada fungsi dan tanggungjawabnya sendiri.
“Dalam keadaan sekarang, kedua-duanya harus berjalan seiringan. Saya tidak fikir pada waktu ini, matrikulasi wajar dimansuhkan. Kalau ada penambahbaikan yang perlu kita buat, ia akan dilaksanakan mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) 2025 anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) di pusat beli-belah Mydin Meru Raya, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin.
Menurut Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan, pihaknya menghormati cadangan agar matrikulasi dimansuhkan dan digantikan dengan STPM namun menegaskan kedua-dua sistem tersebut mempunyai fungsi tersendiri.
“Itu (mansuhkan matrikulasi) adalah cadangan daripada pertubuhan pelajar dan saya rasa tiada masalah untuk mana-mana pihak beri cadangan.
“Cadangan itu boleh dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Saya percaya ia akan diteliti dan di bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan sebelum membuat keputusan yang sebaiknya,” katanya.
Semalam, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) dilaporkan menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan STPM dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Presiden UMANY, Tang Yi Ze berpendapat, silibus STPM terbukti lebih baik, lebih mencabar selain diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk oleh universiti ternama dunia. – UTUSAN