Siswa Bersatu mengkritik gesaan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) agar program matrikulasi dimansuhkan dan keputusan STPM dijadikan piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
Ketua biro parti Bersatu itu, Ameer Hazeem Zaky berkata cadangan tersebut “idea semberono” yang dikemukakan tanpa kajian menyeluruh.
Tegasnya, tidak adil untuk mengatakan STPM lebih baik berbanding matrikulasi, sambil menambah sistem kemasukan universiti awam berpusat (UPU) telah menggunakan sistem meritokrasi sejak 2002.
“Cadangan (mansuh matrikulasi) ini adalah berikutan pihak Umany yang semberono menyatakan silibus STPM lebih baik dari matrikulasi tanpa usul periksa yang jelas.
“Premis bahawa ada kaedah atau sistem quota yang digunakan bagi kemasukan pelajar ke universiti tidak lagi boleh digunapakai, kerana sistem sedia ada menggunakan sistem meritokrasi yang sudahpun diamalkan sejak tahun 2002.
“Hal ini sepatutnya disedari oleh pihak Umany lebih-lebih lagi wakil yang mengeluarkan kenyataan media mereka kerana individu tersebut sendiri merupakan lepasan Matrikulasi Pulau Pinang,” kata Ameer pada kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Umany Tang Yi Ze (gambar atas) mempertahankan gesaannya dengan mengatakan silibus STPM terbukti lebih baik kerana lebih mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tang juga berkata Umany telah mengajukan isu ketidakadilan dalam sistem UPU kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Cadangan itu menerima kritikan meluas, termasuk daripada Naib Canselor Universiti Malaya, Noor Azuan Abu Osman, yang menjarakkan universiti daripada kumpulan tersebut dan menuntut kebebasan bersuara digunakan dengan lebih tanggungjawab.

Sambil mengakui kesukaran dialami Edward Wong (gambar atas), pelajar STPM yang gagal memasuki UM meskipun memperoleh CGPA 4.0, Ameer berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan dengan cadangan dangkal.
“Siswa Bersatu berharap agar pihak Umany ataupun sesiapa sahaja untuk tidak mempolemikkan isu kemasukan pelajar ke IPTA dalam negara dengan rekomendasi yang dangkal, sebaliknya membincangkan bersama dengan kritis dan matang bagaimana sistem meritokrasi ini boleh ditambahbaik,” katanya sambil menyuarakan kesediaan berbincang dengan semua pihak berkenaan hal itu.
Pada 8 Sept lalu, kisah Wong menarik perhatian meluas selepas dia mendedahkan enam universiti menolak permohonannya.
Dia memberitahu wartawan bahawa dia berharap dapat melanjutkan ijazah perakaunan di Universiti Malaya, institusi sama tempat belajar kakaknya yang baru sahaja menamatkan pengajian.
“Kenyataannya mengecewakan. Ada yang meragui kebolehan saya, ada yang tidak percaya pada saya, dan ada yang kata mereka tidak boleh membantu.
“Sehebat mana pun kita perlu jadi untuk memilih (kursus pengajian yang kita impikan)?” soalnya sambil menjelaskan dia akan terus membuat rayuan.






