Ricoh GR IV Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia Pada Harga RM5999
Amy Maizuraa
Pratempahan Ricoh GR IV dibuka di Malaysia dari 2 hingga 11 September yang lalu dan semalam ia akhirnya dilancarkan secara rasmi. Kamera digital kompak ini dilengkapi sensor APS-C 25.7 MP BSI CMOS dan lensa tetap 28mm f/2.8 yang sesuai untuk kegunaan harian dan fotografi jalanan.
Ia menyokong sistem auto fokus hibrid dan penstabilan imej 5-paksi bagi memastikan gambar kekal tajam. Kamera ini juga menawarkan storan terbina 53GB serta slot kad memori microSD/microSDHC/microSDXC dengan piawaian UHS-I.

Ricoh GR IV menyokong rakaman gambar dalam format RAW dan JPEG, manakala rakaman video boleh dilakukan dalam resolusi 1080P/60FPS. Ia dilengkapi dengan skrin sentuh 3″ LCD yang menggunakan kaca tahan calar dan menawarkan sudut pandang yang luas.

Sambungan Wi-Fi dan Bluetooth 5.3 turut memudahkan pemindahan fail serta kawalan kamera dari jauh. Selain itu, kamera juga boleh digunakan sebagai webcam melalui sambungan USB-C yang menyokong DisplayPort.

Ricoh GR IV mampu merakam sekitar 250 gambar dan memainkan semula video 240 minit dengan bateri penuh. Dengan berat hanya 262 gram termasuk bateri dan kad memori, kamera ini sesuai untuk mereka yang inginkan imej berkualiti tinggi dalam reka bentuk yang mudah dibawa.
Di Malaysia Ricoh GR IV dijual pada Harga RM5999 sebuah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.