Malaysia Oversight

Dapsy hentam Akmal – jangan ‘kambing hitam’ sekolah vernakular

By MkiniBM in September 13, 2025 – Reading time 3 minute
Dapsy hentam Akmal - jangan 'kambing hitam' sekolah vernakular


Seorang pemimpin Pemuda DAP (Dapsy) mengkritik ketua Pemuda Dr Akmal Saleh kerana cuba memainkan sentimen perkauman untuk mengalih perhatian daripada masalah yang membelenggu sistem kemasukan universiti awam berpusat (UPU).

Ini susulan kenyataan Akmal yang mempersoalkan sama ada rakyat akan bersetuju dengan sistem sekolah aliran tunggal, selepas kesatuan pelajar mendesak memansuhkan sistem matrikulasi dan menggunakan keputusan STPM sebagai penanda aras tunggal kemasukan ke universiti awam.

“Kenyataan Akmal hanya bertujuan mengaburi isu sebenar dan menyalakan sentimen kaum secara murahan.

“Sekolah jenis kebangsaan bukan masalahnya. Sekolah aliran vernakular terbuka kepada semua kaum dan kemasukan tidak berasaskan kuota etnik. Di peringkat sekolah menengah, murid daripada semua aliran menduduki peperiksaan yang sama (seperti SPM) dan tertakluk pada kriteria kemasukan yang seragam.

“Menyamakan sekolah pelbagai aliran dengan polemik Matrikulasi adalah membandingkan dua perkara yang tidak setara,” kata pengarah hal ehwal universiti Dapsy Koh Ling Xian melalui kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze menggesa memansuhkan sistem matrikulasi dan menggunakan keputusan STPM sebagai penanda aras tunggal kemasukan ke universiti awam.

“Kami tegaskan bahawa silibus STPM lebih mencabar dan ketat berbanding program matrikulasi. Ia juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Namun, lepasan STPM terpaksa bersaing dengan sejumlah besar pelajar matrikulasi di platform yang sama, sekali gus menghasilkan ketidakadilan struktur.

“Inilah bentuk pengasingan sistemik terhadap lepasan STPM,” tambahnya.

Akmal yang tidak berpuas hati menyoal adakah Umany akan bersetuju kalau memansuhkan sekolah vernakular.

“Kalau nak mansuh matrikulasi untuk jadikan stpm syarat tunggal masuk universiti maka kamu bersetuju atau tidak untuk mansuhkan sekolah jenis kebangsaan dan jadikan sekolah hanya ada satu aliran sahaja?

“Kalau tidak bersetuju,jangan sembang nak mansuhkan matrikulasi pulai,” katanya melalui hantaran di media sosial.

Sehubungan itu, Koh berkata jurang antara sistem matrikulasi dan STPM merupakan punca masalah kemasukan universiti ketika ini.

Katanya lagi, perbezaan sistem pemarkahan aktiviti kurikulum dan kokurikulum menyebabkan pelajar STPM sering diketepikan dalam proses permohonan yang sama.

“Kesan akhirnya ialah penghijrahan bakat ke luar negara untuk melanjutkan pengajian,” kata Koh.

Pemimpin DAP itu menegaskan isu ini tidak berkaitan dengan kaum, sebaliknya soal keadilan prosedur bagi memastikan semua calon bersaing menggunakan piawaian yang sama.

Ini, katanya, akan meningkatkan keberkesanan proses penempatan pelajar mengikut kursus yang sesuai, meminimumkan rasa diketepikan dan mengoptimumkan pembangunan bakat tempatan.

“Pendirian Dapsy adalah jelas di mana Malaysia perlu bergerak ke arah sistem kemasukan universiti yang diseragamkan, telus, berasaskan merit dengan perlindungan sewajarnya untuk golongan berkeperluan (need-based), dan mekanisme rayuan yang nyata.

“Dapsy menggesa Akmal agar menghentikan politik populis yang mengelirukan rakyat. Anak muda menuntut dasar yang progresif, adil dan membina, bukan slogan, bukan kambing hitam, dan bukan permainan sentimen,” tambahnya.

Dalam pada itu Koh turut memuji cadangan ahli Majlis Tertinggi , Sharkar Shamsudin yang disifatkannya “jauh lebih matang dan konstruktif.

Dua hari lalu, Sharkar yang juga speaker DUN Pahang menyarankan agar lepasan STPM diberi laluan berasingan untuk masuk universiti awam tanpa perlu melalui UPU.

Sharkar meluahkan rasa kesal kerana walaupun pelajar STPM yang memperoleh keputusan cemerlang merupakan aset negara, mereka sering diketepikan akibat masalah teknikal, kurang maklumat dan proses pemadanan kursus yang tidak cekap.

“Ini menyebabkan ia sering kali menjadi isu nasional yang mengundang rasa kecewa dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat yang melihat kegagalan sistem menempatkan pelajar terbaik sebagai satu kerugian besar kepada pembangunan modal insan negara.

“Sampai masanya dasar pengambilan pelajar ke UA disemak semula supaya lebih bersifat meritokratik dan responsif terhadap pencapaian luar biasa pelajar. Kita tidak boleh lagi membiarkan pelajar yang berada dalam kelompok teratas ini terlepas peluang hanya kerana sistem yang terlalu rigid dan juga tidak mesra pengguna,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysiasemalam.

“Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan pelajar atas kegagalan sistem. Kita perlu akui bahawa sistem sedia ada tidak cukup tangkas untuk mengenal pasti dan memanfaatkan bakat terbaik negara,” tegasnya lagi.



Source link