Rafizi Ramli menggesa rombakan kursus universiti dengan mengalihkan sumber daripada program yang kurang permintaan kepada kursus yang mempunyai permintaan tinggi serta prospek pekerjaan lebih baik.
Bekas menteri itu berkata kes penolakan pelajar cemerlang mencerminkan masalah struktur, dengan universiti terlalu bergantung pada dana kerajaan sambil bersaing menarik pelajar antarabangsa.
Katanya, isu terbaru ini timbul daripada kurangnya keyakinan terhadap sistem, apabila pelajar bukan Melayu berasa diketepikan.
Bekas menteri ekonomi itu menyeru agar kursus universiti “diperhalusi” supaya lebih seimbang antara penawaran dan permintaan, susulan rungutan pelajar cemerlang yang ditolak kemasukan ke universiti awam.

Katanya sumber perlu dialihkan daripada kursus kurang permintaan yang menarik sedikit pelajar dan menawarkan peluang kerja terhad kepada graduan.
“Kalau permintaan untuk kursus-kursus tertentu ni tinggi, ada keperluan untuk kita menstruktur kembali mana-mana kursus yang sebenarnya tidak ada begitu banyak permintaan tetapi mengambil resource, sumber… dari segi demand di luar pun selepas habis universiti mungkin tidak tinggi mana.
“Kalaulah pentrukturan semula mengenai kursus-kursus di universiti dapat dibuat, kita boleh tambah dan sesuaikan tawaran dan jumlah pengambilan setiap tahun itu supaya lebih melambangkan tawaran dan permintaan,” katanya melalui podcast “Yang Berhenti Menteri” malam tadi.
Rafizi turut memetik perbualannya bersama seorang graduan sains dan teknologi, sambil menyatakan kursus itu terlalu umum dari segi kandungan yang diajar.

Katanya, dia bertanya kepada graduan berkenaan berapa ramai pelajar dalam kelasnya dan dijawab bahawa satu pengambilan biasanya hanya sekitar 30 orang.
Rafizi menegaskan perkara itu menunjukkan permintaan yang rendah terhadap kursus berkenaan.
Pada Isnin (8 Sept), Edward Wong yang memperoleh CGPA 4.0 dalam peperiksaan STPM meluahkan rasa kecewa selepas enam universiti menolak permohonannya untuk menyertai kursus perakaunan.
Sebaliknya, dia hanya ditawarkan kursus pengurusan, yang disifatkan Wong sebagai pilihan kelimanya, dengan menggambarkannya sebagai “bukan minat saya, bukan impian saya, dan bukan ganjaran untuk dua tahun perjuangan saya”.
Dia berkongsi kisahnya di Facebook, sekali gus mendorong Presiden MCA Wee Ka Siong mengadakan sidang media mengenai perkara itu.
Bukan Melayu rasa diketepikan
Mengulas lanjut, Rafizi berkata masalah besar yang mempengaruhi penempatan pelajar ialah 90 peratus pembiayaan universiti awam datang daripada kerajaan.
Pada masa sama, institusi berkenaan tetap berusaha menarik pelajar antarabangsa, katanya.
“Kualiti sesebuah universiti dipengaruhi oleh sejauh mana universiti itu bersifat antarabangsa – bukan saja dari segi pelajar tetapi juga fakulti.”
Bulan lalu, Wee mendakwa lebih ramai pelajar dari China diterima masuk ke universiti awam Malaysia kerana mereka mampu membayar, berbanding pelajar tempatan.
Namun, dakwaan itu kemudian dinafikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.
Sementara itu, Rafizi berpandangan isu universiti awam menolak pelajar cemerlang berpunca daripada hilangnya keyakinan terhadap sistem.
“Kerana yang bukan Melayu akan terus merasakan bahawa mereka diketepikan. Jadi sebab itu, ketelusan itu penting dan transparency itu juga mestilah berasaskan kepada sistem yang boleh diterima oleh rakyat,” katanya.