Malaysia Oversight

Pemaju bayar lebih RM60 juta pampasan kepada pemilik Kampung Sungai Baru

By TheSun in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Pemaju bayar lebih RM60 juta pampasan kepada pemilik Kampung Sungai Baru


: Pihak pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur telah membayar RM62.57 juta pampasan kepada pemilik dan pihak berkepentingan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Dr Khairul Nizam Othman menyatakan penentuan jumlah pampasan dibuat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

Menerusi tawaran usaha sama, pemilik rumah pangsa akan memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM884,000 hingga RM1 juta.

Pemilik rumah teres pula akan memperoleh antara tiga hingga sembilan unit rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta.

Pembayaran nilai pampasan itu melibatkan nilai hartanah, kos selenggara, penambaikan, kos pindah, kos sewa, kos sewa sementara, kos kehilangan pendapatan, kos hadir bicara dan fi penilaian.

Bagi pemilik rumah pangsa, tawaran yang diberikan ialah seunit rumah pada harga berpatutan berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki pada harga separuh daripada jumlah pampasan yang diterima.

Sebagai contoh, pemilik yang menerima tawaran pampasan RM250,000 boleh memiliki tawaran menerusi Pakej Harmoni pada harga RM125,000.

Tawaran berkenaan telah dikemukakan oleh pemaju kepada pemilik yang memohon pada 16 Mei 2022 dengan 11 pemilik rumah pangsa menerima tawaran berkenaan.

Sehingga kini 72% atau 236 daripada 328 pemilik kediaman telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula, manakala 28% masih membantah.

Baki pemilik yang masih belum menyatakan persetujuan adalah atas faktor tidak berpuas hati dengan pampasan yang diberikan pemaju.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, selain pampasan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi sesetengah pemilik rumah. – Bernama



Source link