Malaysia Oversight

Cadangan beli barang basah guna Sara, KPDN rujuk pada MOF

By MkiniBM in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Cadangan beli barang basah guna Sara, KPDN rujuk pada MOF


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia membawa cadangan supaya penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut dibenarkan menggunakannya bagi membeli barangan basah.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, memandangkan ketetapan mengenai barangan yang boleh dibeli melalui SARA ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MoF), perkara itu akan dirujuk kepada kementerian berkenaan.

“Sekarang ini ada 14 kategori barang-barang yang boleh dibeli melalui SARA… yang membuat ketetapan itu ialah MOF, jadi saya kira saya boleh sampaikanlah tentang perkara ini kepada MOF,” katanya ketika ditemui media selepas program Jom Cari Menu Rahmah di Tanjung Gosong, dekat Pekan, Pahang, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas luahan penerima Sara yang berharap mempertimbangkan penggunaan bantuan itu untuk membeli barangan basah seperti ayam segar, ikan dan sayur-sayuran.

Pada masa ini, penerima Sara boleh membeli barangan daripada 14 kategori yang ditetapkan , termasuk beras, telur, mi segera, makanan dalam tin dan minyak masak.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif Menu Rahmah, Fuziah menegaskan program yang diperkenalkan sejak 2023 itu masih berjalan seperti biasa.

“Menu Rahmah ini masih ada, walaupun ada pihak mendakwa ia sudah tidak lagi mendapat sambutan daripada peniaga.

“Jadi kami di KPDN melancarkan inisiatif Jom Cari Menu Rahmah bagi mempergiatkan promosi dan menghargai komitmen peniaga,” katanya.

Dia turut memaklumkan sehingga 11 Sept lalu, sebanyak 3,106 premis di seluruh negara masih menawarkan Menu Rahmah.

KPDN, katanya, turut menggalakkan lebih ramai pengusaha mendaftar di portal Menu Rahmah bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah serta memudahkan orang ramai mengenal pasti lokasi premis terlibat.



Source link