Malaysia Oversight

Sunway Medical Centre dinobat hospital pintar terunggul Malaysia

By Utusan in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Sunway Medical Centre dinobat hospital pintar terunggul Malaysia


PETALING JAYA: Sunway Medical Centre, Sunway City (SMC) diiktiraf sebagai hospital pintar nombor satu Malaysia dan buat julung kali tersenarai dalam kelompok 350 hospital terbaik dunia menerusi penarafan World’s Best Smart Hospitals 2026 oleh Newsweek.

Ini merupakan kali pertama Malaysia disenaraikan dalam senarai berprestij itu, dengan SMC berada di kedudukan ke-313 bersama hospital ternama antarabangsa seperti The Johns Hopkins Hospital, Mayo Clinic, Singapore General Hospital dan The University of Tokyo Hospital.

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, pihaknya berbangga disenaraikan antara hospital pintar terbaik dunia.

Menurutnya, integrasi teknologi terkini dan pendigitalan sistem perubatan penting bagi meningkatkan kepuasan pesakit, melancarkan operasi serta memperkasakan para klinikal kami.

“Dengan penerapan teknologi digital dan automasi termasuk sistem berkuasa kecerdasan buatan (AI), Sunway Healthcare Group kekal komited terhadap keselamatan pesakit, privasi data dan piawaian etika.

“Inilah cara kami memacu pertumbuhan serta inovasi sambil mengekalkan misi membina Sunway yang bersedia untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Penganugerahan itu mengiktiraf 350 hospital dari 30 negara.

Penarafan terbaharu tersebut dibuat berdasarkan tinjauan dalam talian menyeluruh, kaji selidik Statista Smart Hospitals Maturity, serta akreditasi hospital Joint Commission International (JCI).

Sejak beberapa tahun lalu, SMC kekal di barisan hadapan teknologi melalui pelaburan dalam robotik, perubatan ketepatan dan automasi.

Transformasi digital dipercepatkan dengan pelbagai pendekatan pendigitalan dan integrasi sistem AI bagi meningkatkan kecekapan klinikal serta operasi.

Sementara itu, antara pencapaian tersebut termasuk sistem pemprosesan spesimen makmal automatik pertama di Malaysia Walk Away Sample Processor (WASP) yang digabungkan dengan teknologi Annalise AI Enterprise chest X-ray (CXR) untuk laporan radiologi.

Ia juga merangkumni pelaksanaan Nemuri Smart Bed Monitoring System bagi pemantauan keadaan pesakit secara masa nyata.

Dalam pada itu, SMC turut menjadi hospital pertama di Asia Tenggara memasang AIBLE™ Spine Surgical Suite secara komersial, hospital pertama di Malaysia mengendalikan dua sistem da Vinci Xi.

SMC turut mempunyai platform robotik artroplasti paling komprehensif di negara ini dengan sistem ortopedik robotik canggih iaitu Mako SmartRobotics™, ROSA® Knee System dan VELYS™ Robotic Assisted Solution.

Sejak 2017, hospital tersebut telah melaksanakan lebih 3,800 prosedur pembedahan berbantu robot merangkumi pelbagai bidang kepakaran termasuk ortopedik, urologi, obstetrik dan ginekologi, serta pembedahan am.

Pencapaian terbaharu ini mengukuhkan lagi kejayaan SMC selepas tersenarai sebagai hospital terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia selama dua tahun berturut-turut menerusi World’s Best Hospital 2025 Newsweek.-UTUSAN





Source link