TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu mengekalkan mandat sebagai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang susulan keyakinan rakyat terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata,
rakyat membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka nikmati dan lihat pada masa kini.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, kita ada hala tuju jelas menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 dengan indikator prestasi (KPI) yang sudah terbukti berjaya dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dapatan kajian awal oleh firma bebas Ilham Centre sepanjang Jun lalu yang meletakkan GRS mendahului parti-parti lain di Sabah, membuktikan rakyat menilai berdasarkan hasil yang telah dicapai.
Kajian Ilham Centre yang dilaporkan Utusan Malaysia semalam mendapati dua faktor utama mengukuhkan kedudukan GRS iaitu penguasaan sebagai parti pemerintah yang mempunyai akses sumber serta faktor personaliti calon DUN.
Di Sabah, politiknya unik kerana pengundi lebih menilai calon di kawasan masing-masing berbanding isu nasional, sekali gus memberi kelebihan kepada penyandang yang menunjukkan prestasi baik.
Menurut Nizam, pelbagai masalah legasi termasuk isu air, elektrik dan jalan raya sedang ditangani, malah beberapa projek besar kini berjalan seperti Lebuhraya Pan Borneo, pelan tenaga Sabah termasuk pembinaan solar berskala besar serta projek hidro.
“Untuk selesaikan masalah ini mengambil masa, tetapi Insya-Allah dalam tiga tahun akan datang isu-isu berbangkit dapat ditangani sepenuhnya. Projek air yang dihentikan kerajaan lalu juga sudah kita laksanakan semula,” katanya.
Sehubungan iitu, beliau yakin sokongan rakyat terhadap GRS akan terus meningkat dan mandat baharu akan diberikan kepada Hajiji bersama kerajaan GRS-PH untuk lima tahun mendatang.
Mengulas persoalan mengapa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dilakukan, Nizam menegaskan perkara itu adalah kuasa prerogatif Ketua Menteri.
“Bila masa yang sesuai, Ketua Menteri akan menasihati Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan DUN. Itu bukan masalah besar, beliau akan tentukan waktu paling tepat,” jelasnya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas dan Penyelaras Zon 12 GRS berkata, keyakinan rakyat terhadap hala tuju GRS menjadi bukti bahawa parti itu berada di landasan terbaik menjelang PRN.-UTUSAN