Seorang pemimpin MCA membuat spekulasi bahawa dia dilarang memasuki sekolah semalam kerana mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Monna Ong – Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Terengganu – berkata sekolah rendah Cina di Marang memaklumkannya semalam bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan menafikan kemasukannya ke sekolah itu untuk sambutan Hari Kanak-kanak.
Katanya, dia telah menghadiri majlis itu di sekolah berkenaan selama lima tahun tanpa sebarang masalah sebelum ini.
“Adalah sukar untuk tidak melihat sekatan secara tiba-tiba ini sebagai tindak balas kepada komen awam saya baru-baru ini mengenai pengendalian isu-isu seperti buli sekolah dan mempolitikkan bilik darjah oleh menteri pendidikan – termasuk arahan yang membimbangkan untuk pelajar melaungkan slogan seperti ‘Saya sayang perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bulan lalu, Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli turut menyindiri Fadhlina kerana memimpin pelajar sekolah melaungkan ucapan selamat hari lahir kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa majlis sekolah.
Insiden itu terbongkar menerusi video yang tular di media sosial, menunjukkan Fadhlina memimpin pelajar mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You” untuk perdana menteri, yang berusia 78 tahun pada 10 Ogos.
Mengulas lanjut, Ong berkata kritikannya adalah penuh hormat dan dibuat dengan niat baik, menggesa Fadhlina supaya terbuka menerima kritikan demi memperbaiki dirinya.
“Sebagai pengerusi Yayasan Bantuan Pendidikan Dato Sri Chia Siea Chok, saya menghadiri sekolah itu atas kapasiti saya sebagai ketua yayasan kebajikan, bukan sebagai tokoh politik. Untuk mencampurkan kedua-duanya adalah mengelirukan dan tidak adil.
“Lebih penting lagi, ia menghukum pelajar yang mendapat manfaat daripada bantuan yayasan itu,” tambah Ong.
Dia memetik pemimpin DAP Hannah Yeoh dilarang menghadiri acara di bekas sekolahnya SMK Subang Utama pada 2008 sebagai contoh dulu.
Ini didakwa kerana kedudukan Yeoh dalam Pakatan Harapan (PH), yang merupakan pembangkang ketika itu, tambah Ong.
Ong mengecam PH kerana meneruskan tindakan sedemikian, walaupun Yeoh kemudiannya menggesa agar amalan menyekat pembangkang memasuki sekolah dihentikan.
“Namun hari ini, mereka yang pernah memperjuangkan keterbukaan dan pembaharuan kelihatan senyap, atau lebih teruk lagi, bersubahat dalam meniru ketidakadilan yang pernah mereka lawan.
“Apa yang berlaku kepada janji-janji perubahan? Apa yang berlaku dengan komitmen PH terhadap ketelusan, keadilan dan penyahpolitikan pendidikan?” soal Ong.