MUKTAMAR PAS | PAS mengambil pendirian bersabar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri mewakili PN untuk PRU16.
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya berkata partinya akan menumpukan gerak kerja gabungan itu bagi menghadapi PRU tersebut.
“Apa-apa keputusan penting yang melibatkan dasar, kita akan bawa ke dalam mesyuarat PN. Bagi kita, parti politik (ingin umumkan calon PM) itu hak masing-masing dan kita menghormati hak itu.
“Tapi apa-apa keputusan, kita akan bawa (ke mesyuarat). Dalam PAS, kita tahu banyak tokoh-tokoh yang berwibawa yang mampu kita tonjol. Tapi kita lebih fokus untuk menangkan PN.
“Gerak kerja perlu ditingkatkan berbanding dengan (soal) calon. Soal calon kita akan putuskan dalam mesyuarat PN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya jika PAS akan menamakan calon PM dalam muktamar ini.
Ditanya tentang Perhimpunan Agung Bersatu yang meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM ke-11 untuk parti itu, Tuan Ibrahim berkata parti itu ada hak untuk berbuat demikian.
“(Namun) menang dulu lah. Bagi saya, menang dulu, tingkatkan gerak kerja,” katanya lagi.

Usul berkenaan tidak mendapat reaksi positif daripada pemimpin PAS sebelum ini, antaranya oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Annuar Musa yang menasihatkan Bersatu agar “menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar serta memulihkan kepercayaan rakyat.”
Pada 8 September lalu, Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung BN juga berkata Bersatu sewajarnya mempersiapkan parti dengan barisan pelapis yang “berintegriti tinggi.”
Sebelum ini Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin turut menegur Bersatu agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pengumuman menyentuh mengenai PN, selain mengamalkan dasar musyawarah.
Tiada usul Hadi sebagai calon PM
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata partinya tidak menerima sebarang usul untuk menamakan presiden, Abdul Hadi Awang sebagai calon PM.
“Kita tak terima lagi usul tersebut. Biasa usul dihantar awal untuk kita bincang. Kemudian barulah usul itu di bawa ke dalam muktamar.
“Kita ada mesyuarat terakhir pada Ahad untuk kita tengok segala usul-usul. Cuma sepanjang maklumat saya, tidak ada usul tersebut hingga setakat ini.
“Tapi (kalau) ada usul tergempar, wallahualam,” katanya lagi.