Malaysia Oversight

Didenda RM15,000 miliki 6,191 liter diesel tanpa permit

By Utusan in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Didenda RM15,000 miliki 6,191 liter diesel tanpa permit


IPOH: Bekas pengarah sebuah syarikat kuari didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 6,191 liter minyak diesel tanpa permit, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lee Ting Sing, 60, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan minyak diesel yang dirampas sebanyak RM16,715.70 dilucuthak kepada melalui Pengawal.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merupakan pengarah Syarikat NSS Infraworks Sdn. Bhd. ketika itu didapati telah melanggar Peraturan 18(1), Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki 6,191 liter bahan api diesel yang merupakan barang kawalan berjadual dan digunakan dalam perjalanan perniagaan syarikat berkenaan tanpa kebenaran pengawal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Mukim Hulu Kinta dekat Kanthan, Chemor pada pukul 3 petang, 16 Mac 2023.

Pertuduhan terhadap bapa kepada lima anak itu dikemukakan mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Hanif Abd. Azis manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Morgan.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

 





Source link