Malaysia Oversight

Dewan muktamar Pemuda PAS bergema dengan ngauman RX-Z

By MkiniBM in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
Dewan muktamar Pemuda PAS bergema dengan ngauman RX-Z


MUKTAMAR | Dewan utama di Kompleks Kedah di Alor Setar pagi tadi bergema dengan ngauman enjin tiga motosikal Yamaha RX-Z 135 sebagai antara gimik perasmian muktamar sayap hari ini.

Beraksi di hadapan ratusan perwakilan dan pemerhati, tiga penunggang motosikal itu berhenti di depan pentas utama, membuka topi keledar masing-masing sebelum seorang daripadanya mengelap kenderaan itu dengan sehelai kain.

Berada di pentas acara itu ialah beberapa pemimpin parti termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azzamudden. Kemudian seorang anggota Pemuda PAS yang memakai kemeja T Alternative Riding Club menghampiri penunggang motosikal tersebut.

Mereka kemudian memulakan perbualan mengenai politik tanah air sebelum ahli PAS terbabit membuka aplikasi AI untuk mengemukakan beberapa soalan yang membawa kepada penjelasan mengenai parti itu sebagai pilihan anak muda Malaysia.

Itu adalah sebahagian daripada gumik disediakan oleh Pemuda PAS sebagai sebahagian daripada pembukaan muktamar kali ini dan menggambarkan bagaimana sayap parti tersebut harus mendekati generasi muda.

774ec118044623ee8f939029e5109760

Terdahulu, semasa ucapan dasarnya, Afnan Hamimi menggesa semua ahli Pemuda PAS membina hubungan dengan anak muda Malaysia dari semua segmen dan menarik sokongan mereka.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi, PAS memperoleh sejumlah 2.4 undi di seluruh negara pada PRU ke-15 berbanding keanggotaan parti seramai 900,000 orang.

Itu, katanya, menunjukkan enam daripada 10 pengundi PAS terdiri daripada bukan ahli parti.

“Cari kumpulan belia yang masih belum kita dekati, terutamanya dalam kalangan 60 peratus yang masih belum menjadi ahli parti kita. Empat puluh peratus lagi sudah menjadi sebahagian daripada kita, memakai jubah, berkopiah dan memahami dasar kita.

“Tetapi enam daripada 10 yang lain belum menjadi ahli parti. Ada antara mereka memakai seluar jeans, berkopiah, ada yang sibuk ‘remp’ ekzos RX-Z mereka, manakala yang lain sibuk di jalan raya mencari rezeki dengan menghantar makanan.

“Ada juga yang sentiasa bersiaran secara langsung (dalam media sosial) sehingga tengah malam, ada yang pandai membuat kandungan (dalam talian), ada yang jadi pempengaruh, suka menyanyi, hiking, dan ada juga yang terlalu sibuk dengan kerja sehinggakan tidak sempat mendengar apa yang kita perjuangkan di parlimen,” katanya.


Laporan oleh Hariz Mohd, B Nantha Kumar, dan Firdaus Hanafiah



Source link