Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hari ini menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik.
Malah, katanya silibus STPM lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh universiti ternama dunia.
“Umany telah menerima dan menyerahkan satu tuntutan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung ketidakadilan dalam sistem UPU.
“Ini selepas mendapatk seorang pelajar dengan PNGK penuh 4.0 dan markah kokurikulum setinggi 9.45 hanya ditawarkan pilihan kelapan dalam sistem UPU, manakala tiga pilihan utama langsung tidak dipertimbangkan, seolah-olah diketepikan oleh sistem secara sewenang-wenangnya.
“Kami juga menegaskan bahawa silibus STPM adalah jauh lebih mencabar dan ketat berbanding program matrikulasi, serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Namun, pelajar STPM terpaksa bersaing di platform yang sama dengan sejumlah besar pelajar matrikulasi, sekali gus mewujudkan ketidakadilan struktur. Keadaan ini jelas merupakan satu bentuk peminggiran sistematik terhadap pelajar STPM,” katanya.
Tang berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan dokumen aduan kepada Penolong Pegawai Perhubungan Awam Kanan KPT, Dayang Norakma Shaharuddin, di Putrajaya, hari ini.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan kisah seorang pelajar cemerlang, Edward Wong Yi Xian yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 dalam STPM bercita-cita menjadi seorang akauntan.
Tetapi dia kecewa apabila enam universiti menolak permohonannya.
Bagaimanapun, pada Rabu Umany mendakwa Wong sebaliknya telah ditawarkan tempat melalui laluan masuk terus yang lebih mahal, selepas dinafikan secara tidak adil untuk menyertai program perakaunan UM.
Umany menegaskan bahawa memandangkan Wong menerima tawaran pengambilan terus itu, ini membuktikan bahawa dia memenuhi syarat kelayakan untuk program tersebut.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) tampil menjelaskan Wong yang memperoleh CGPA 4.0 dan skor kokurikulum 99.9% berada pada kedudukan ke-1,129 daripada 2,291 pemohon yang layak ke UM.
Bagaimanapun, hanya 85 tempat sahaja ditawarkan untuk kursus perakaunan tahun ini.
Wong akhirnya ditawarkan ke program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan utama, iaitu pilihan kelimanya.
UM dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan bahawa institusi terbabit menawarkan sehingga 160 tempat untuk setiap pengambilan pelajar ke dalam program perakaunan.
Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman menjelaskan daripada jumlah itu, 85 slot diperuntukkan kepada pelajar yang memohon melalui sistem kemasukan universiti berpusat (UPU) dan 28 tempat lagi dikhaskan untuk pelajar program perintis (feeder) institut itu.
Baki 30 hingga 50 tempat akan diisi oleh pelajar yang menerima tawaran pengambilan terus melalui sistem saluran terbuka (Satu).
Pada Julai lalu, Umany mengkritik sistem pengambilan langsung UM kerana didakwa mengetepikan pelajar STPM, sambil memetik jawapan parlimen Mac 2024 yang dilaporkan menunjukkan bahawa kurang daripada dua peratus pelajar STPM diterima masuk ke program yang sangat menjadi idaman seperti pergigian, farmasi dan perubatan.
Umany juga menyeru KPT supaya segera menerbitkan markah kemasukan minimum, nisbah Unit Pusat Universiti (UPU) kepada pelajar pengambilan langsung, dan pecahan etnik untuk semua universiti dan semua program tahun ini.
Dalam pada itu, Tang berkata, pihaknya juga menggesa supaya KPT mendedahkan sepenuhnya mekanisme serta data pengagihan kursus pengajian dikendalikan sistem UPU bagi setiap sesi pengambilan.
Katanya, pendedahan itu penting agar setiap bakal pelajar jelas memahami sebab mereka ditawarkan kursus-kursus tertentu.
“KPT perlu mengumumkan secara telus semua data dan kaedah penentuan ranking pelajar dalam sistem UPU, termasuk bilangan kuota bagi kursus-kursus popular seperti perubatan, perakaunan dan perundangan.
“Mereka juga perlu dedahkan perincian pecahan kuota mengikut aliran STPM, matrikulasi, asasi, diploma dan A-Level. Ketelusan ini penting agar rakyat dapat berperanan sebagai semak dan imbang terhadap keputusan KPT,” katanya.