Selepas kontroversi operasi pengosongan sebahagian rumah penduduk di Kampung Sungai Baru, semalam, jawatankuasa hak penduduk kampung berkenaan menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan persekutuan.
Sementara menunggu proses itu, mereka menuntut operasi pengosongan kawasan diberhentikan sementara.
Peguam mereka N Surendran berkata tidak mungkin perbincangan akan berjalan dengan baik sekiranya pada masa yang sama tindakan pengosongan masih berjalan.
“Tak mungkin, jadi kita minta kepada kerajaan, menerima cadangan agar campur tangan segera, minta dengan pemaju hentikan pengosongan sambil perbincangan serta keputusan yang baik dicapai.
“Termasuk kita harap penglibatan agensi kerajaan yang lain untuk menjalankan pembangunan di Kampung Sungai Baru.
“Kita tidak menolak pembangunan, kita sedia pada bila-bila masa termasuk pada cuti hujung minggu ini untuk berbincang dengan wakil kerajaan,” jelasnya yang juga penasihat Lawyers for Liberty (LFL).
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala (bawah) semasa operasi pengusiran terhadap penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah.

Difahamkan, dia cedera ketika kekecohan tercetus selepas beberapa penduduk cuba memaksa untuk masuk ke kawasan operasi.
Operasi itu, yang turut melibatkan pemotongan bekalan elektrik, bermula awal pagi dengan diketuai bailif mahkamah serta kerjasama beberapa agensi berkaitan. Kehadiran polis dalam jumlah besar menghadkan akses ke rumah terbabit hanya kepada mereka yang mempunyai pas keselamatan.
Apabila sekumpulan penduduk dihalang oleh pihak berkuasa, ada pihak membaling objek termasuk batu ke arah pihak berkuasa. Sulizmie dipercayai terkena salah satu objek berkenaan.
Polis kemudian mengeluarkan amaran keras supaya penduduk bersurai, yang akhirnya dipatuhi.
Susulan insiden itu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dia akan menghantar anggota parlimen Titiwangsa Johari Ghani untuk menguruskan masalah yang timbul di kampung berkenaan.
Sahut kenyataan Zahid Hamidi
Sementara itu, Surendran berkata, mereka menyahut cadangan Zahid.
“Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia juga bersimpati kepada mangsa-mangsa di sini, dia juga menyatakan seorang wakil kerajaan dan juga ahli parlimen kawasan ini untuk turun dan bantu menyelesaikan masalah di Kampung Sungai Baru.
“Kita sedia untuk berbincang dengan wakil kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias dan barisan ahli jawatankuasanya.
Surendran yang juga bekas naib presiden PKR yang meletakkan jawatan berkata, perbincangan dengan wakil kerajaan sangat penting demi kebajikan dan keadilan kepada penduduk yang terlibat.
“Biar kami berbincang kerana isu ini bukan saja melibatkan kebajikan penduduk Kampung Sungai Baru, ia menjadi isu nasional. Seluruh negara sekarang, matanya adalah kepada Kampung Sungai Baru,” kata Surendran lagi.
‘Penduduk dianiaya akta’
Dalam perkembangan sama dia turut menyatakan bahawa masalah yang berlaku ini susulan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh kerajaan pada tahun 2021.
Dakwanya, penduduk Kampung Sungai Baru dianiaya dengan menggunakan akta tersebut.
“Masalah di Kampung Sungai Baru ini tidak akan timbul jika Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak digunakan. Itu punca masalah.

“Kerajaan pada masa itu masuk campur dan menggunakan kuasa yang sangat drastik untuk mengambil tanah itu dan beri kepada pemaju.
“Penduduk dipaksa menerima wang pampasan. Penduduk tak pernah minta wang pampasan, mereka nak tanah yang diwarisi turun-temurun,” kata Surendran.
Jelasnya lagi, pengambilan tanah itu dilakukan ketika pemerintahan kerajaan sebelum ini (PN), namun tidak bermakna kerajaan hari ini tiada tanggungjawab.
“Kalau perkara tak betul dilakukan oleh parti atau kerajaan sebelum ini, adalah tugas kerajaan hari ini untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.