Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai model yang lebih efektif dari segi kos dan mampan untuk pembasmian kemiskinan.
Berbeza dengan program lepas yang menurutnya membelanjakan berbilion-bilion, tetapi hanya memberikan keuntungan pendapatan kecil untuk peserta, Rafizi mempertahankan rancangan yang menampilkan penggunaan mesin layan diri untuk menyediakan peluang menjana pendapatan.
“Ini bukan soal mesin vending (layan diri). Itu hal tersurat sahaja.
“Yang tersirat ialah bagaimana sesuatu program kerajaan itu perlu memaksimumkan wang rakyat untuk bagi pulangan terbaik kepada rakyat. Tidak cukup dengan membuat program dan mengagihkan bantuan sahaja,” katanya.
Dia merujuk kepada laporan baru-baru ini oleh CNA Singapura mengenai seorang usahawan makanan Malaysia, Amin Afifi yang menggunakan mesin layan diri IPR untuk meningkatkan pendapatan sehingga empat kali ganda.
Rafizi berkata ia contoh bagaimana IPR direka untuk menjana pendapatan tetap bagi golongan berpendapatan rendah dan bukannya pemberian bantuan sekali sahaja.
“Pada zaman Najib dahulu, ada program bernama 1Azam. Tujuannya hampir sama dan sejumlah RM1.1 billion dibelanjakan di antara 2010 hingga 2013.
“Penerima diberi bantuan antara RM5,000 hingga RM50,000, kebiasaannya sekitar RM10,000 hingga RM20,000 seorang. Kebanyakannya untuk memulakan perniagaan dan bertani, jadi penerima tidak mendapat wang tetapi mendapat mesin, kelengkapan, baja dan lain-lain.
“Tetapi tumpuan lebih kepada mengagihkan bantuan supaya dapat diumum berapa yang telah dibelanjakan. Kejayaan meningkatkan pendapatan secara berkekalan itu bercampur-campur,” katanya.
Dia berkata di bawah 1Azam, angka yang dilaporkan ialah 66% penerima berjaya meningkatkan pendapatan mereka sekurang-kurangnya RM300 sebulan selama tiga bulan berturut-turut.
“Bayangkan belanja berpuluh ribu seorang tetapi pendapatan bulanan hanya naik RM300 sebulan.
“Bandingkan dengan IPR yang syaratnya mesti menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Ada yang berjaya mencecah RM4,000 ke RM5,000 sebulan seperti yang dilaporkan dalam liputan CNA,” kata ahli parlimen PKR itu.
Rafizi mengingatkan, bagaimanapun, jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati, program bantuan sedemikian akhirnya memberi manfaat kepada pembekal yang menjual mesin, peralatan, baja dan sebagainya kepada kerajaan.
Isu utama penerima bantuan, tambahnya, bukan sekadar modal atau peralatan kerana mereka juga perlu mendapatkan tempat untuk berniaga.
“Yang tersirat ialah tidak cukup dengan mengagihkan bantuan sehingga penerima bergantung kepada bantuan kerajaan. Bagi kail, jangan bagi ikan,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Masalah utama peniaga makanan ialah akses kepada tempat berniaga yang tinggi trafiknya. Sebab itu kerajaan mengusahakan untuk menempatkan mesin-mesin ini ditempat tumpuan awam, supaya jualannya tinggi.
“Kerajaan juga tidak memberi tunai kepada mereka, hanya mesin untuk mereka menjual. Laku atau tidak bergantung kepada usaha mereka,” katanya.
Rafizi menambah bahawa dia berharap untuk mengembangkan konsep IPR melalui rangkaian saluran perusahaan sosial di bawah sepanduk kempen PKR yang diusahakannya, Ayuh Malaysia.
Dia berkata langkah sedemikian perlu bagi memastikan orang ramai tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk membuka peluang kepada lebih ramai golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan.
Dilancarkan pada 2023, IPR menyasarkan untuk mengangkat isi rumah B40 di atas garis kemiskinan dengan memberi mereka peluang untuk memperoleh sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, sama ada melalui penjualan makanan, kontrak pertanian, atau keusahawanan mikro.