PETALING JAYA: Kurang pendedahan di liga domestik menjadi punca kegagalan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand.
Kapten negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui, semua pemain malu dan kecewa selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi.
Menurutnya, walaupun corak permainan dan taktikal baharu yang diterapkan jurulatih lebih efektif, kelemahan nyata terserlah berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang hadir dengan barisan pemain berprofil tinggi.
“Untuk pasukan kita pula, saya sendiri pun jarang-jarang main kat kelab saya, jadi saya rasa kami sebagai satu pasukan kena buktikan sesuatu.
“Saya rasa skuad pembangunan kita juga agak kurang baik. Coach pun macam tak ada pilihan sangat untuk buat apa-apa keputusan sebab pool player kita pula kurang,” katanya.
Ubaidullah menegaskan, faktor kualiti pemain lawan yang sudah beraksi secara konsisten di kelab utama serta pengalaman di pentas antarabangsa jelas memberi kelebihan.
“Saya rasa yang membezakan kita dengan negara lain adalah decision making. Sebab pemain mereka lebih kepada yang mempunyai pengalaman dengan permainan berintensiti tinggi di peringkat Antarabangsa.
“Kalau nak cakap berlari, saya rasa pasukan kita semua boleh berlari. Tapi hantaran terakhir kita, sentuhan terakhir kita di depan gawang itu yang membezakan kita,” jelasnya.
Mengulas mengenai kekecewaan gagal meraih keputusan positif, Ubaidullah tidak menafikan moral pasukan sedikit terjejas tetapi tetap optimis menjelang Sukan SEA 2025.
“Sudah tentu, agak kecewa lah ni sebab kali kedua selepas Piala Mandiri, dan masih tak dapat result. Tapi benda positif tu ada dari segi gameplay dengan taktikal yang jurulatih terapkan. Saya rasa benda tu lebih efektif kali ini. Mungkin bukan rezeki lagi. Jadi Insya-Allah kita akan tebus balik di masa akan datang,” katanya.-UTUSAN