Malaysia Oversight

JDT jinakkan Harimau Kumbang 6-0

By Utusan in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
JDT jinakkan Harimau Kumbang 6-0


ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol membelasah Penang FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Pada awal permainan, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail tampak mampu menyaingi pasukan tuan, namun ia hanya bertahan untuk lima minit pertama sahaja.

Anak buah Xisco Munoz mempamer penguasaan sepenuhnya dan memberikan tekanan kepada pasukan pelawat dan hampir membuka jaringan menerusi Jon Irazabal namun tandukannya sedikit tersasar.

Gol pertama JDT hadir pada minit kesembilan setelah hantaran lintang Arif Aiman Hanapi berjaya disambut Jairo Da Silva yang menanduk bola menerjah gawang lawan.

Pada minit ke-18, giliran Arif Aiman meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila rembatan deras ke penjuru pintu gol lawan melepasi jangkauan penjaga gol, Khairulazhan Mohd. Khalid.

Pemain paling berharga (MVP) itu menambah jaringan peribadinya setelah memanfaatkan umpanan Nacho Mendez dan mudah menewaskan Khairulazhan pada minit ke-31.

Dua minit berselang, kesilapan dilakukan Khairulazhan yang membuat hantaran pendek kepada pemain pertahanan disambar Joao Figueiredo sebelum melepaskan rembatan ke gawang yang tidak dikawal.

Permainan skuad Harimau Kumbang itu dilihat serba tidak menjadi apabila terus diasak hebat pasukan JDT hingga tidak berdaya melancarkan serangan balas.

Sebelum wisel ditiupkan, Irazabal menambah derita buat pasukan pelawat apabila menyudahkan sepakan sudut diambil Hector Hevel menjadikan kedudukan 5-0.

Bersambung babak kedua, JDT mengekalkan momentum kemenangan dengan memberi tekanan kepada Penang dan Hevel berupaya melakukan percubaan tepat ke pintu gol namun berjaya diselamatkan penjaga gol.

Bagaimanapun, gol keenam JDT hadir pada minit ke-52 hasil jaringan Antonio Glauder setelah pemain pertahanan itu yang tidak dikawal berada di posisi tepat untuk menolak bola tersebut ke gawang Penang.

Penang FC tampak bernyawa pada babak kedua setelah kemasukan pemain import, Danilo Sipovac menyuntik semangat Harimau Kumbang dan memberi kesukaran kepada benteng pertahanan lawan.

Pada minit ke-55, Dylan Wenzel Halls menjaringkan gol setelah berlaku kekalutan di dalam kotak penalti namun jaringan itu dibatalkan setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran terhadap penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Munoz membawa masuk Bergson Da Silva bagi menambah sengat Harimau Selatan namun hasrat penyerang kelahiran Brazil itu memburu jaringan bagi mencipta rekod pemain dengan jaringan terbanyak Liga Super tak kesampaian.

Hasrat Arif Aiman yang memburu hatrik juga tidak kesampaian setelah tiada pertambahan gol direkodkan.-UTUSAN





Source link