Malaysia Oversight

RUU tribunal antibuli akan dibentang di Parlimen pada Disember

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
RUU tribunal antibuli akan dibentang di Parlimen pada Disember


Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini untuk dikuatkuasakan tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, hari ini.

Pembentangan RUU itu akan dibuat selepas siri jelajah seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas awam, katanya.

“Kita hanya ada ruang pada Disember, selepas (pembentangan) belanjawan.

“Jadi kita harap Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk luluskannya agar kita boleh kuat kuasa tahun depan,” katanya semasa sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di hari ini.

Azalina bersama Menteri Komunikasi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan sesi town hall pertama tribunal antibuli di jabatan tersebut pada petang tadi.

Pada 7 Sept lalu, Bernama memetik Azalina sebagai berkata RUU itu akan diluluskan pada Oktober, lebih awal daripada tempoh enam bulan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbincangan mengenai isu buli mencetuskan perhatian besar di media sosial selepas kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Zara ditemui cedera parah dan tidak sedarkan diri di kawasan sekolahnya pada awal pagi 16 Julai, sebelum meninggal dunia di hospital sehari kemudian.

Kes itu dipercayai ada kaitan dengan perbuatan buli yang berlarutan selama beberapa bulan, dengan lima remaja telah didakwa atas tuduhan membulinya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata sudah mempunyai dasar-dasar utama bagi rang undang-undang tersebut.

Namun, katanya, pihaknya ingin mendapatkan lebih pandangan di peringkat awam.

Katanya lagi, tumpuan kini sama ada RUU itu perlu dikhususkan kepada isu buli melibatkan kalangan di bawah umur 18 tahun atau diperluaskan kepada semua peringkat umur.

Ketika sesi town hall hari ini, timbalan ketua pengarah (pembaharuan undang-undang) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Thiyagu Ganesan berkata RUU itu akan berasaskan hak dan berteraskan kanak-kanak.

Dalam sidang media sama, Fadhlina turut menyentuh laporan polis yang dibuatnya terhadap akaun-akaun media sosial yang cuba mengaitkannya dengan pengetua sekolah Zara, SMKA Tun Datu Mustapha.“Perancangan seterusnya akan saya maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dia juga mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam berkongsi dan membuat hantaran di media sosial.



Source link