Malaysia Oversight

M’sia teroka bandar masa depan dengan inovasi bawah tanah

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
M’sia teroka bandar masa depan dengan inovasi bawah tanah


Malaysia meletakkan kedudukan sebagai hab serantau bagi pembinaan dan inovasi bawah tanah dengan penggunaan teknologi terowong dan trenchless (tanpa pengorekan), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Bercakap pada Asian Conference on Tunnelling and Trenchless Technology (ACTT) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur hari ini, Chang berkata pembangunan bawah tanah bukan lagi sekadar pilihan kejuruteraan, sebaliknya semakin menjadi satu keperluan bandar.

“Perancang bandar semakin menggambarkan ruang bawah tanah sebagai dimensi ketiga bandar moden, melengkapkan pembangunan infrastruktur dan bangunan,” katanya ketika berucap pada persidangan itu.

Chang berkata projek MRT dan LRT di Lembah Klang ialah bukti bahawa pembinaan terowong telah mengubah cara rakyat bergerak, bekerja, dan hidup.

Dia juga memberikan jaminan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan terus komited menerajui kemajuan Malaysia dalam bidang sains, teknologi dan Inovasi.

“Di bawah Madani, kita dipandu oleh nilai kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, amanah dan ihsan. Nilai-nilai ini seiring dengan tujuan persidangan ini, iaitu berinovasi secara bertanggungjawab, membina secara mampan, dan memastikan kemajuan memberikan manfaat kepada rakyat dan alam sekitar,” katanya.

ACTT 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Sept, dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (IEM) melalui Tunnelling and Underground Space Technical Division (TUSTD).

Acara dwitahunan itu, yang diadakan bersempena dengan Engineer 2025 sebagai sebahagian daripada Konvensyen IEM, menghimpunkan 150 hingga 200 delegasi di seluruh Asia, menampilkan kemajuan terkini dalam pembinaan terowong hijau, transformasi digital dan infrastruktur mampan.

Persidangan itu, yang mendapat pengiktirafan International Tunnelling and Underground Space Association (ITA–AITES), turut merangkumi sesi teknikal, pameran, pertandingan dan lawatan teknikal ke projek tempatan.

-Bernama



Source link