KUALA LUMPUR : Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan kejayaan merangkul gelaran juara dunia di Paris minggu lalu bukan alasan untuk mereka alpa.
Walaupun dihujani ganjaran wang tunai dan barangan bernilai daripada pelbagai penaja, pasangan No.3 dunia itu tetap mahu kekal merendah diri.
Tang Jie berkata fokus mereka kekal terhadap pencapaian lebih besar pada masa depan, tanpa terlalu memikirkan imbuhan.
“Bagi kami, saya rasa tiada apa yang berubah kerana kami masih pemain badminton, kami masih atlet.
“Kami mahu mencapai lebih banyak pencapaian untuk negara kami, untuk diri kami sendiri juga,” kata Tang Jie selepas majlis penyampaian insentif kemenangan oleh syarikat jualan barangan elektronik di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.
Bagaimanapun, Ee Wei mendedahkan kesemua wang ganjarannya telah diberikan kepada ibu bapanya untuk disimpan.
“Wang (ganjaran) saya diberikan kepada ibu bapa saya. Mereka simpankan untuk saya,” kata Ee Wei.
Pada majlis berkenaan, pasangan tersebut menerima insentif keseluruhan berjumlah RM125,000 daripada syarikat penaja.
Tang Jie membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala Ee Wei menerima produk elektronik bernilai RM25,000.
Habuan lumayan itu menjadi lebih bermakna buat Tang Jie kerana beliau pernah menerima biasiswa Program Biasiswa SS Junior Badminton Talent anjuran Senheng dan Samsung pada tahun 2012.
Setakat ini, Tang Jie telah mengutip ganjaran keseluruhan berjumlah RM190,000 hasil kemenangan di Kejohanan Dunia 2025.
Jumlah itu merangkumi insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM40,000, tajaan syarikat jualan elektronik bernilai RM100,000, sumbangan syarikat makanan ringan RM25,000 serta ganjaran daripada syarikat aksesori kenderaan berjumlah RM25,000.
Bagi Ee Wei pula, pemain kelahiran Melaka itu menerima ganjaran keseluruhan sebanyak RM140,000.
Selain menerima imbuhan sama seperti Tang Jie, Ee Wei turut mendapat insentif tambahan RM50,000 daripada Kerajaan Negeri Melaka serta produk elektronik bernilai RM25,000 daripada syarikat jualan elektronik. – UTUSAN