Polis akan menyiasat sekiranya wujud pihak tertentu yang cuba menunggang isu perobohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan insiden balingan batu yang mencederakan pegawai kanan polis, pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen oportunis politik yang sengaja memanipulasi situasi, bagi menimbulkan ketegangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sepintas lalu mereka dilihat membela (rakyat) tetapi tampil dengan menghasut dan menyebarkan maklumat palsu, menimbulkan tohmahan, menganjurkan keganasan dan juga menyemarakkan kebencian,” katanya pada sidang media Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 hari ini, di Melaka.
Saifuddin Nasution berkata kebebasan berhimpun tidak boleh disalah guna dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti mencederakan penjawat awam, kerana perbuatan tersebut adalah satu kesalahan.
“Saya juga sudah bercakap dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ) untuk mengambil tindakan segera dan tegas mengesan pelaku, dan kita akan uruskan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala, dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.
Saifuddin Nasution turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan gejala hasutan yang boleh menyebabkan keadaan tidak tenteram dalam masyarakat sekiranya tidak dibendung.
Selain itu, beliau mengulangi bahawa Kerajaan Madani kekal dengan pendirian menghormati hak rakyat untuk berhimpun sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu perlu datang bersama tanggungjawab.
“Rekod kita selama tiga tahun membuktikan bagaimana setiap kali pemberitahuan tentang perhimpunan dibuat, pihak polis sentiasa memudah cara.
“Saya tengok rekod, hampir 98 peratus daripada notis pemberitahuan kepada pihak polis untuk satu perhimpunan semuanya diberikan fasilitasi oleh pihak polis dan ini membuktikan bagaimana kita menghormati kebebasan rakyat untuk berhimpun,” katanya.
– Bernama