Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyindir kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berhubung siasatan ke atas dakwaan dia memiliki harta di United Kingdom (UK).
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahathir berkata dirinya sendiri terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu.
“Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu. Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat claim harta ini.
“Setelah dapat harta ini saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” katanya.
Selasa lalu, Azam berkata SPRM sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung aset yang dipercayai dimilik bekas perdana menteri itu di negara berkenaan.
“Siasatan melibatkan Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan kami sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar terutama sekali pihak UK, pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki oleh Dr Mahathir.
“Sekiranya (maklumat) dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa siasatan berhubung isu tersebut mungkin bertujuan untuk melengah-lengahkan proses saman yang difailkannya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Sebenarnya saya fikir Datuk Seri Anwar (PMX) suruh SPRM buat siasatan ini supaya melambatkan kes. Apabila saya saman dia, dia minta dua minggu untuk jawab saman saya.
“Sekarang sudah dua tahun. Masih tidak sanggup ke mahkamah. Masih hendak tangguh. Konon saya ada harta di UK. Siasatan akan ambil masa. Tangguh lagi,” katanya.
Sebelum ini, Azam pada April 2024 dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anaknya diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Jan lalu, dilaporkan menurut pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.