Pendapatan panggung wayang pasca pandemik masih belum kembali ke tahap sebelum pandemik. Antara sebabnya ialah kos sara hidup meningkat dan pandemik membuatkan ramai lebih selesa menonton filem di rumah. Jualan TV dengan saiz skrin melebihi 65″ mencanak naik dibantu oleh platform penstriman yang menawarkan filem baharu hanya beberapa bulan selepas ia ditayangkan di panggung.
Saya adalah antara golongan elitis yang masih merasakan panggung wayang menawarkan pengalaman tontonan yang terbaik. Tetapi jika perlu membina sebuah panggung di rumah, saya akan menggunakan Samsung Neo QLED QN990F sebagai antara komponen pertama dibeli? Dalam ulasan ini saya akan terangkan kepada anda.
SPESIFIKASI
Samsung Neo QLED 8K QN990F | ||||||
---|---|---|---|---|---|---|
Saiz Skrin | 75-inci | |||||
Resolusi | 7,680 x 4,320 pixel (100Hz) | |||||
Panel | Neo QLED | |||||
Pemproses | NQ8 AI Gen3 Processor | |||||
GPU | ? | |||||
RAM | ?GB RAM | |||||
Storan | ?GB | |||||
Sistem Operasi | Tizen Smart TV OS | |||||
HDR | Ya / HDR10+ | |||||
Keterangan Maksimum | 1680 nit | |||||
Audio | 90W, 6.2.4 Dolby Atmos | |||||
I/O | 4x HDMI 2.1 | 3x USB-A 2.0 | 1x USB-C | RF | LAN | Optical Audio |
DTTV | Ya/ | |||||
Pembantu Maya | Bixby | |||||
Internet | LAN/ WiFi 6E | |||||
Bluetooth | Bluetooth 5.3 | |||||
Chromecast | Ya | |||||
AirPlay 2 | Ya | |||||
Saiz | 1,655.2 x 1,018.5 x 283.8 (dengan tapak) | |||||
Berat | 40.4 kg (dengan tapak) | |||||
Harga Jualan | RM 26,999 |
REKAAN
Model QN990F yang diulas ini adalah sebesar 75″ yang merupakan model paling kecil ditawarkan dengan Samsung turut menawarkan QN990F dengan pilihan skrin 85″. Skrin Neo QLED yang digunakan mempunyai bezel yang dan apabila dilihat dari jauh seakan tiada bezel langsung. Memberikan ilusi ia sekeping skrin yang terapung di udara.

Terdapat lapisan Glare Free yang mengurangkan pantulan cahaya. Isu besar skrin di rumah ialah cahaya dari lampu dan tingkap boleh menyebabkan silau. Teknologi anti silau yang digunakan pada telefon pintar Galaxy S25 Ultra kini digunakan juga pada TV premium Samsung.
Panel Neo QLED masih memerlukan lampu di belakang maka ia lebih tebal jika dibandingkan dengan TV OLED yang turut dijual oleh Samsung. Tetapi Neo QLED mempunyai kelebihan tidak akan wujud isu burn in yang berlaku pada panel OLED.

Tubuh masih agak nipis kerana ia menggunakan Wireless One Connect Box yang disambung secara nirwayar. Kotak TV ini boleh diletakkan dalam lingkungan 10 meter daripada TV. Dengan sistem baharu ini, kabel berselirat untuk konsol, kotak TV satelit dan aksesori lain dapat disorokkan dengan lebih baik.
Pada kotak One Connect terdapat dekoder TV digital DVB-T2, 4X HDMI 2.1, 3X USB-A 2.0, 1X USB-C, 1X RJ45 LAN dan 1X sambungan antena RF. Satu-satunya port USB-C pada One Connect bukan untuk aksesori tetapi adalah untuk kabel kuasa pengecas 45W. Ia adalah palam kuasa yang juga boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar.

Tapak TV adalah dari Infinity Air berbentuk huruf “L” dengan bahagian pelapik yang nipis. Ini adalah rekaan tapak yang praktikal kerana pelbagai aksesori seperti soundbar, konsol, dekoder TV satelit dan Apple TV boleh diletakkan di bawah TV tanpa sebarang kekangan ruang.
Bagi yang memilih untuk menggantung TV, tapak ini boleh dicabut dan cagak VESA (400x300mm) pada bahagian belakang boleh digunakan. Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 6E. Sambungan internet pantas adalah perlu bagi membolehkan kandungan 8K HDR distrim dengan lancar Pelbagai aksesori lain boleh disambung dengan tambatan Bluetooth 5.3.

PENGGUNAAN DAN KUALITI VISUAL
Panel Neo QLED 8K pada QN990F memaparkan imej yang sangat tajam, warna yang realistik dan keterangan yang boleh membakar retina mata kerana mencecah hampir 1700 nits. Walaupun dari jarak dekat skrin tidak nampak pecah kerana resolusi 8K yang digunakan.
Semua platform penstriman utama disokong dengan sistem HDR10+. Yang saya sedari Netflix dan Prime Video adalah dua platform yang menyokong HDR10+ pada TV ini. Apple TV masih berkeras hanya menyokong Dolby Vision.
Sudah bertahun lamanya ramai meminta Dolby Vision disokong tetapi Samsung kekal dengan HDR10+ kerana mereka antara penyokong format ini sejak dari awal. Walaupun bukan Dolby Vision, imej yang hidup masih dapat dinikmati.

Tiada isu ghosting walaupun apabila menonton babak aksi pantas atau dalam sesi gaming. Samsung turut menyertakan ciri Filmmaker Mode bagi mereka yang ingin memastikan filem yang ditonton adalah pada format yang sepatutnya. Dalam mod ini warna tidak akan dinaikkan sehingga melampau dan kadar bingkai dihadkan ke 24 FPS.
Terdapat juga AI Mode yang menala kualiti imej berdasarkan kandungan yang ditonton tetapi saya merasakan mod ini separuh masak. Dalam Netflix babak aksi pantas tiba-tiba mempunyai ghosting yang ketara sehingga nampak kabur seperti efek Motion Blur diaktifkan. Apabila dimatikan barulah isu hilang. Saya tidak menjumpai situasi AI Mode perlu digunakan kerana mod kerana ia sekadar menimbulkan masalah visual.

Panel skrin yang mempunyai lapisan anti silau banyak membantu khususnya pada waktu siang. Panel Neo QLED mempunyai sudut pandangan yang sangatlah cemerlang kerana tidak kira dari sudut mana anda menonton, visual akan nampak jelas. Isu blooming yang saya kesan pada Q900A sebelum ini juga tidak berulang. Dalam masa tiga tahun ada penambahbaikan pada sistem lampu belakang Neo QLED yang menyelesaikan isu ini.
Untuk benar-benar melihat kemampuan TV ini, anda perlu menonton kandungan natif 8K daripada YouTube. Kandungan 4K dan 1080p boleh dipaparkan dengan baik tetapi boleh dilihat kesan upscale seperti colour banding pada warna serta sedikit kesan hingar. Samsung semakin baik dalam melalukan peningkatan kualiti video tetapi hakikatnya ia masih tidak sama dengan 8K natif.

Ini membawa kepada isu seterusnya iaitu walaupun TV 8K sudah dipasarkan Samsung sejak 2018, platform yang menyokong 8K masih sekadar YouTube di Malaysia. Terasa seperti potensi QN990F tidak digunakan sepenuhnya. Satu-satunya kelebihan panel ini ialah, pada TV lebih besar daripada 65″ resolusi 4K tidak lagi memadai.
Saya ada mengulas TV 100″ HiSense U7K tahun lalu dan gambar yang dipaparkan nampak pecah apabila duduk sekitar 5 kaki daripada TV. Memang penstriman 8K tidak banyak, tetapi resolusi 8K adalah perlu pada QN990F dengan skrin 75″.
GAMING
Prestasi skrin untuk gaming pula adalah yang terbaik keran TV hadir dengan 4X input HDM 2.1 membolehkan empat konsol/PC disambungkan dengan resolusi 8K 120Hz atau 4K 240Hz. Saya sempat menguji QN990F dengan Xbox Series X dan PlayStation 5 Pro dan sokongan 120Hz beroperasi seperti diiklankan.

Terdapat Game Bar untuk mengubah nisbah skrin ultra lebar (hanya untuk PC sahaja), mod untuk permainan berbeza (FPS, MMO, perlumbaan dll) diakses, VRR, Game Motion Plus, FreeSync Premium Pro (hanya menerusi sambungan terus pada TV dan bukan One Connect) dan mengurangkan lengah input boleh dikawal secara setempat.

KUALITI AUDIO
Speaker dengan saluran 6.2.4 serta output 90W menyokong Dolby Atmos, DTS TruSurround dan Eclipsa Audio. Eclipsa ialah format baharu dibangunkan Samsung dan Google sebagai alternatif kepada Dolby Atmos. Pada ketika ini hanya YouTube menyokong Eclipsa. Kualiti audio yang dikeluarkan adalah amat baik bagi sistem speaker terbina.

Audio terasa hidup dengan suara dapat didengari dengan jelas walaupun dalam babak yang bising. Dentuman bass juga baik cuma kurang kuat kerana tiada speaker subwoofer berasingan. Kesan Dolby Atmos pada hemat kami tidak begitu menjadi dengan audio yang sepatutnya datang dari atas tidak ketara dalam beberapa filem yang kami tonton.
TV menyokong sistem audio Q-Symphony yang membolehkan sambungan dengan soundbar keluaran Samsung. Apabila diaktifkan, speaker TV dan soundbar beroperasi serentak bagi menawarkan audio yang lebih menyeluruh. Saya padankan dengan Samsung Soundbar Q990F yang diulas beberapa minggu lalu dan ia memang simfoni penuh kokofoni yang membuatkan apa yang ditonton benar-benar teras seperti di depan mata.
TIZEN SMART TV OS
Tizen Smart TV OS ialah sistem operasi paling dominan kerana pegangan Samsung yang cukup besar dalam pasaran TV pintar dunia. Oleh sebab itu pelbagai aplikasi penting boleh dimuat turun menerusi stor aplikasi. Secara lalai YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime Video telahpun terpasang.

Aplikasi lain seperti Apple TV, Astro, HBO MaxNebula, iQiyi, , Viu, Twitch, TikTok, WeTV, Sooka, Spotify, Apple Music dan banyak lagi boleh dimuat turun. Semuanya berfungsi tanpa isu sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu. Tizen ialah sistem operas yang sudah lama bertapak maka tidak wujud isu tiada aplikasi untuk platform penstriman yang ingin digunakan.

Isu yang sering didengari mengenai Tizen OS sebelum ini ialah isu lengah masa sekiranya banyak aplikasi dilancarkan di latar belakang. Pada QN990F isu ini tidak timbul dengan pelbagai ciri boleh berjalan lancar. Antaramuka responsif dengan arahan yang diberikan sama ada menerusi alat kawalan jauh atau menggunakan aplikasi telefon pintar.
Malahan ada opsyen ketiga iaitu menggunakan arahan suara Bixby sepenuhnya. Bixby bukan sahaja boleh mengawal pelbagai ciri seperti membuka aplikasi, menukar tahap kelantangan audio dan menukar input, ia juga boleh digunakan untuk bertanya mengenai cuaca di luar sana.

QN990F bukan sekadar TV tetapi ialah hab pintar rumah. Dengan Bixby saya boleh mengawal mesin basuh, kamera litar tertutup, penyaman udara, ketuhar dan pelbagai peranti berhubung (IoT) yang disambungkan kepada sistem SmartThings.

Kerana ia sebuah TV Samsung, maka ia berfungsi dengan baik apabila dipadankan dengan ekosistem Samsung. Sebagai contoh Samsung DeX secara nirwayar boleh digunakan lengkap dengan Multi View. Dengan Multi View, sehingga empat input seperti satu daripada YoTube, Netflix, Spotify dan satu lagi daripada telefon pintar Samsung Galaxy boleh dipaparkan serentak pada skrin. Pengguna boleh menyusun saiz skrin, dan posisi setiap skrin apabila menggunakan mod gambar-dalam-gambar ini..
Kepada pemilik peranti Galaxy pula, telefon boleh diakses terus daripada TV. Ciri yang berguna adalah seperti mengakses Gallery terus dari TV untuk melihat gambar yang diambil.

Ciri lain yang disertakan ialah Ambient Mode yang memaparkan animasi pada skrin TV apabila ia tidak digunakan sebagai TV. Imej karya seni terkemuka juga boleh dipaparkan sebagai screensaver dalam mod ini. Terdapat juga Art Mode yang memaparkan lukisan terkemuka sebagai imej latar belakang. Mod ini jelas dipinjam daripada siri The Frame.
Tidak terhenti di sini, jika anda mahukan imej yang lebih rawak, ciri Samsung Vision AI boleh menjana imej latar belakang dengan memilih beberapa prom yang tersedia. Setiap hari sehingga 10 latar belakang baharu boleh dijana.

Kepada pengguna ekosistem Apple pula, AirPlay 2 juga boleh digunakan untuk menyiarkan kandungan MacBook, iPhone dan iPad terus pada TV. Sebagai kesimpulan QN990F bukan sahaja cemerlang sebagai pusat hiburan dan gaming di rumah tetapi juga boleh digunakan untuk mengawal pelbagai peranti di bawah ekosistem Samsung.
ALAT KAWALAN JAUH
Alat kawalan jauh adalah dari jenis Smart Remote yang boleh mengawal bukan sahaja QN990F tetapi aksesori lain yang disambungkan kepada TV. Ia adalah bersaiz kecil dengan jumlah butang yang minimalis. Empat pintasan pantas adalah untuk Netflix, Prime Video, YouTube dan pelayar web Samsung Internet. Butang Disney+ tidak lagi disertakan di pasaran Malaysia kerana ia tidak serasi dengan Disney+ Hotstar.

Smart Remote amat mudah digunakan kerana intuitif. Semua label ikon mudah difahami. Ia tidak memerlukan bateri AAA kerana mempunyai bateri terbina yang boleh dicas menggunakan kabel USB-C, sinar matahari dan gelombang radio di rumah. Alat kawalan jauh ini sudah ternyata panjang hayat kerana saya ada alat kawalan sama daripada QN880C yang digunakan sejak 2 tahun lalu tidak pernah dicas walaupun sekali.
KESIMPULAN
Samsung Neo QLED 8K QN990F ialah TV terbaik pernah kami ulas setakat ini kerana visual mantap, audio amat memuaskan, sokongan gaming terbaik, ciri tambahan yang berguna dan dipadankan dengan rekaan yang cantik. Ia adalah sehampir mungkin kepada kesempurnaan visual bagi mereka yang inginkan TV besar di rumah.

Kekurangannya ialah tiada Dolby Vision dan Tizen OS memaparkan iklan dengan agak ketara setiap kali hab utama TV diakses. Harga jualan bermula RM 27,999 untuk model 75″ dan RM 39,999 untuk model 85″. Memang harganya tinggi tetapi untuk menikmati kualiti visual tahap mercu dan dipadankan pula dengan ciri tambahan terkini, memang anda perlu berbelanja lebih.
Pro
- Skrin yang cukup besar untuk memberikan pengalaman seperti wujud wayang di rumah.
- Kualiti visual yang amat baik keterangan hampir 1700 nit.
- Sokongan HDR10+.
- Sokongan audio Dolby Atmos.
- Sokongan ekosistem Samsung menerusi Tizen Smart TV OS.
- Pilihan I/O yang memuaskan seperti 4x HDMI 2.1.
- Wireless One Connect Box memberikan sambungan tanpa wayar berselirat.
Kontra
- Tiada sokongan Dolby Vision.
- Memerlukan peranti Samsung dan pengguna SmartThings untuk dimanfaatkan sepenuhnya.
- Iklan pada papan pemuka Tizen OS yang sangat besar.
