Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Shuhaily Zain mengesahkan bahawa 18 daripada 27 suspek yang ditahan SPRM atas dakwaan terbabit dalam sindiket ‘counter-setting’ baru-baru ini adalah daripada agensi itu.
Dia dilaporkan memberitahu sidang media bahawa pegawai itu adalah sebahagian daripada pasukannya yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2, dan berikrar untuk memberikan kerjasama penuh mereka kepada SPRM.
“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM, dan saya telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai perkara itu.
“Mereka yang ditahan telah direman,” katanya kepada pemberita, seperti dipetik The Star.
Dilaporkan SPRM menahan 27 orang pada Selasa kerana disyaki terlibat dalam sindiket ‘counter-setting’ yang membolehkan warga asing memasuki Malaysia tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.
Menurut sumber, suspek – 19 lelaki dan lapan wanita berusia antara 20-an dan 50-an – diberkas dalam operasi di seluruh Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semalam.
“Suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket counter-setting, di mana mereka disyaki memberi dan menerima rasuah sebagai pertukaran untuk memudahkan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa melalui prosedur ditetapkan.
“Hasil operasi itu, SPRM turut merampas wang tunai lebih RM200,000, beberapa barang kemas, jongkong emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan alat telekomunikasi,” kata sumber itu.