PUTRAJAYA: Seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa wanita ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Majistret Nurul A’in Faqihah Mohd Yusof membenarkan suspek yang berusia lingkungan 40-an direman selama lima hari sehingga 15 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) telah ditahan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar pukul 10 malam tadi.
“Suspek disyaki bersekongkol dengan sindikit counter setting di mana mereka dipercayai terlibat rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukkan warga negara asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM pada Selasa,” katanya.
Menerusi Op Rentas berkenaan, seramai 30 individu telah ditahan dan 27 daripada mereka yang melibatkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam telah ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bermula Rabu.
Susulan operasi itu juga, SPRM telah menyita pelbagai jenis aset seperti kereta dan motosikal, barangan kemas, kepingan emas, peranti telekomunikasi, beg tangan serta jam tangan yang belum dianggarkan nilai keseluruhannya.
SPRM juga telah menyita wang tunai lebih RM200,000 dan membekukan 57 akaun perbankan melibatkan 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat melibatkan nilai lebih RM2.7 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN