Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak agar Alice Loke Yee Ching menarik diri daripada menjadi hakim yang mendengar semakan kehakimannya untuk menjalani hukuman tahanan rumah.
Permohonan itu dibuat secara lisan oleh peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah pada awal prosiding hari ini, yang sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk meminda tuntutannya dalam saman berkenaan.
Shafee berhujah bahawa keputusan hakim pada 4 Sept lalu – yang menolak permohonan Najib untuk memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh – adalah satu penentuan awal terhadap perkara pokok dalam kes mereka.
“Yang Arif telah menyentuh aspek duty of candour (ketelusan penuh) pada peringkat permohonan kebenaran prosiding hina mahkamah, dan telah membuat keputusan yang ia tidak terpakai pada peringkat itu.
“Kami mengatakan ia terpakai sejak dari situ, dan saya diarahkan untuk memohon agar Yang Arif mempertimbangkan untuk menarik diri.
“Bagi mengelakkan pembaziran masa, apa sahaja keputusan Yang Arif hari ini, kami tidak akan merayu pada peringkat ini, tetapi akan bangkitkan semula jika perlu apabila keputusan muktamad dibuat berhubung perkara yang substantif,” katanya.
Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bahawa permohonan Najib adalah pramatang pada peringkat ini dan dia sepatutnya memfailkan permohonan rasmi.
Hakim kemudian menjelaskan yang keputusannya mengenai isu duty of candour hanya terpakai dalam konteks prosiding hina mahkamah.
“Saya mengambil kira permintaan supaya saya menarik diri. Apabila saya memutuskan bahawa duty of candour tidak timbul, ia adalah dalam konteks permohonan kebenaran (dalam prosiding hina mahkamah).
“Sekarang kebenaran itu tidak diberikan, saya rasa kita sudah melepasi peringkat itu.
“Isu jika dapatan saya boleh menyebabkan saya jadi berat sebelah tidak sepatutnya timbul kerana kita kini berada pada peringkat substantif. Oleh itu, saya terpaksa menolak permintaan ini,” katanya.
Pada 4 Sept lalu, Loke menolak permohonan Najib untuk memfailkan prosiding hina mahkamah terhadap Terrirudin atas tiga alasan, termasuk bahawa hujah Najib hanyalah spekulasi tanpa bukti kukuh, dan bahawa bekas AG itu tidak mempunyai duty of candour untuk membuktikan kewujudan titah adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu, memohon perintah mandamus supaya kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah adendum berkenaan.
Dia menamakan AG, Kementerian Dalam Negeri, ketua pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), serta ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai responden
Pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakimannya, Najib kemudian membuat rayuan di Mahkamah yang kemudiannya membatalkan keputusan itu pada 6 Januari lalu.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan tersebut apabila ia menolak rayuan peguam negara terhadap keputusan mahkamah sebelumnya.






