Ketegangan sekitar inkues kematian Zara Qairina Mahathir kian meningkat.
Dalam perkembangan hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap seorang pengguna Facebook atas dakwaan menghina mahkamah.
Seorang bekas pengetua sekolah turut didakwa kerana mengugut pakar patologi forensik yang terlibat dalam kes itu, manakala Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pula mendakwa peguam yang terlibat dalam kes berkenaan berdepan gangguan.
Dalam kes pertama, AGC menyerahkan notis tunjuk sebab ke atas seorang wanita yang dituduh mencabar keterangan pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu, yang berisiko mempengaruhi persepsi awam terhadap inkues tersebut.
Menurut AGC lagi, beberapa individu lain yang turut mengulas kes itu secara dalam talian juga bakal berdepan pertuduhan jenayah tidak lama lagi.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, bekas pengetua sekolah Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghantar mesej berunsur ugutan kepada Hiu.
Menurut Berita Harian, Kamul dituduh mengeluarkan kenyataan yang membawa implikasi agar pakar patologi itu diburu, dan seseorang diupah untuk melakukan langgar lari terhadapnya.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan kesalahan gangguan serta ugutan secara dalam talian.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM50,000.
Inkues itu, yang setakat ini telah mendengar keterangan daripada enam saksi, meneliti keadaan sekitar insiden Zara terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada Mei 2024.
Hiu menjadi sasaran cemuhan selepas memberi keterangan bahawa hasil forensik menunjukkan Zara tidak ditolak atau jatuh secara tidak sengaja.
Dalam perkembangan berkaitan, SLS menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman dan gangguan yang semakin meningkat ke atas peguam yang terlibat dalam inkues itu, termasuk mereka yang menjadi pemerhati.
“Gangguan terhadap peguam, sama ada secara dalam talian atau sebaliknya, adalah tidak boleh diterima dan mencabar keluhuran undang-undang,” kata Presiden SLS Nazim Maduarin.
Dia menegaskan peguam hanya melaksanakan tanggungjawab profesional mereka, dengan memastikan semua pihak diwakili dengan sewajarnya.
“Tindakan Menyasarkan atau mengugut mereka adalah tindakan yang menjejaskan sistem keadilan itu sendiri,” katanya lagi.