Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam dakwaan serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi Suzilme Affendy Sulaiman semasa operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar berkata dia telah menggesa pihak berkuasa untuk segera melancarkan siasatan berhubung perkara itu dan memberkas dalang yang bertanggungjawab terhadap kecederaan Suzilme.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” kata perdana menteri dalam catatan media sosial hari ini.
Kenyataan Anwar dibuat selepas laporan media mengenai Suzilme mengalami kecederaan di kepalanya semasa operasi di Kuala Lumpur, dengan gambarnya berlumuran darah di muka beredar di media sosial.
Suzilme difahamkan cedera ketika kekecohan berlaku selepas beberapa penduduk Kampung Sungai Baru yang tidak berpuas hati cuba memasuki kawasan yang dikepung polis.
Mengulas kejadian itu, Anwar menegaskan bahawa walaupun kerajaan menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman, prinsip kebebasan juga menuntut tanggungjawab dan pematuhan ketat kepada peraturan, kesopanan dan undang-undang.
“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat,” tambahnya.
Polis sebelum ini menyekat akses ke bahagian Kampung Sungai Baru untuk operasi pengusiran penduduk yang enggan berpindah keluar dari kawasan itu kerana pertikaian tanah.
Terletak berhampiran Jambatan Saloma Link yang ikonik dan stesen LRT Kampung Baru dengan pemandangan jelas Menara Berkembar Petronas, Kampung Sungai Baru menyaksikan projek pembangunan semulanya tertangguh selama hampir sedekad berikutan pertikaian mengenai pampasan.