Intel Mengesahkan Ketibaan Siri CPU Arrow Lake Refresh Dan Nova Lake Untuk Tahun 2026
Nazrin
Sehingga kini, kita sudah sedia maklum bahawa Intel akan melancarkan siri cip pemprosesan Intel Core 300 mereka, yang diberikan kod nama “Nova Lake” yang dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun hadapan. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa mereka juga akan memperkenalkan siri cip pemprosesan “Arrow Lake Refresh” lebih awal.
Dalam satu kenyataan oleh John Pitzer, SVP bahagian komunikasi korporat di Intel, beliau mengatakan bahawa selain daripada Nova Lake yang akan dilancarkan pada penghujung tahun 2026 dan awal 2027, Intel juga akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Arrow Lake Refresh, iaitu kemaskini kepada siri cip pemprosesan desktop Arrow Lake yang dijual sekarang.

Pelancaran siri cip pemprosesan Arrow Lake Refresh ini dikatakan juga adalah sebagai satu cara untuk Intel memperbaiki pelbagai isu prestasi yang berkaitan dengan siri cip Arrow Lake sedia ada, sebelum pelancaran Nova Lake pada penghujung tahun hadapan.
Beliau turut mengatakan bahawa siri cip pemprosesan tersebut akan dilancarkan dalam separuh pertama 2026, dan akan hadir dengan prestasi yang lebih baik berbanding model sebelum ini, termasuklah sokongan untuk memori DDR5 yang lebih pantas.
Bagi mereka yang menggunakan komputer yang dikuasakan cip pemprosesan Arrow Lake (Intel Core Ultra 200S) sedia ada, ia juga disahkan bahawa cip Arrow Lake Refresh ini akan disokong oleh papan induk LGA 1851 sedia ada, dan akan menggunakan nama model Intel Core Ultra 200S sedia ada juga.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.