PETALING JAYA: Siri perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini memberi banyak gambaran menarik mengenai hala tuju Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Kemenangan 2-1 ke atas Singapura dan 1-0 berdepan Palestin bukan sahaja mengekalkan rekod bersih skuad dibawah kendalian pengendali dari Australia itu, tetapi lebih menarik aspek pergiliran pemain serta pendekatan taktikal dilakukan Cklamovski.
Keberanian Cklamovski memberi peluang kepada beberapa pemain yang sebelum ini jarang mendapat minit bersama skuad kebangsaan dan ruang untuk membuktikan kemampuan, sekali gus menambah pilihan dalam senarai utama.
Pergiliran ini bukan sahaja memastikan pemain utama tidak dibebani dengan risiko kecederaan, tetapi juga membina keyakinan dalam kalangan pelapis.
Pada aksi berdepan Palestin, menyaksikan benteng pertahanan negara dibarisi majoriti pemain tempatan iaitu Shahrul Saad, Dominic Tan, Harith Haiqal dan Quentin Cheng sekali gus menafikan dakwaan bakat tempatan bakal dipinggirkan dengan kehadiran lambakan pemain warisan.
“Saya sangat yakin dan menaruh kepercayaan kepada kesemua pemain. Kami perlu beri fokus kepada persiapan dan kekalkan persembahan positif. Setiap hari kami bekerja keras serta komited atas apa yang dilakukan.
“Ia satu hasil yang bagus, Melakukan rombakan dan enam pertukaran pemain memang sudah dijangka permainan kami akan menjadi longgar di penghujung permainan tapi komitmen setiap pemain membanggakan saya,” kata Cklamovski.
Taktikal dipraktikkan Cklamovski, jelas kelihatan usaha untuk menyesuaikan corak permainan mengikut kekuatan lawan dan barisan pemain yang ada, sekali gus tidak terlalu bergantung dengan hanya satu sistem.
Fleksibiliti ini penting apabila Malaysia berdepan lawan berbeza tahap, khususnya dalam kelayakan Piala Dunia atau Piala Asia.
Apa yang paling penting, siri perlawanan kali ini menjadi medan ujian dan penyesuaian, bukannya semata-mata memburu keputusan.
Harimau Malaya kini bukan sahaja sedang membina pasukan tetapi juga mengasah mentaliti bersaing di peringkat lebih tinggi.
Cklamovski jelas mengambil pendekatan berani dengan memberi peluang dan menilai lebih ramai pemain, demi memastikan Harimau Malaya mempunyai skuad yang lebih seimbang serta miliki lebih banyak pilihan pemain.
Dengan pergiliran pemain dan sentuhan taktikal yang lebih segar, Harimau Malaya kini berada di landasan lebih baik untuk menghadapi cabaran kompetitif seterusnya.-UTUSAN