Malaysia Oversight

Pecah rekod bukan jaminan emas Sukan SEA

By Utusan in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
Pecah rekod bukan jaminan emas Sukan SEA


PETALING JAYA: Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan kejayaan beberapa atlet olahraga negara memperbaharui rekod kebangsaan pada musim ini bukan jaminan untuk Malaysia menyinar di Sukan SEA 2025.

Tegasnya, setiap atlet perlu membuktikan mereka sememangnya layak memenangi pingat emas pada temasya tersebut dan bukannya sekadar memperbaharui rekod olahraga kebangsaan.

Pelari jarak jauh negara, Kristian Tung mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod acara 3,000 meter (m) dengan catatan 8 minit 15.81 saat (s) pada 20 Ogos lalu, sekali gus meleburkan rekod lama 40 tahun milik S. Muthiah (8:27.00).

16 hari kemudian dia memperbaharui rekod 10,000m jalan raya dengan catatan 30.07s di Big10 Rotterdam, Belanda, memadam pencapaian M. Sanjay yang melakukan 31.01s di Songkhla Marathon pada 24 Ogos lalu.

Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan membuat lontaran 18.66m di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA), Ahad lalu memperbaharui rekod miliknya sendiri, 18.46m.

Sebagai perbandingan, catatan 18.66m itu jauh mengatasi balingan pingat emas Sukan SEA dalam dua edisi terakhir.

Pada edisi Sukan SEA 2023 di Kemboja, emas menjadi milik atlet Thailand, Jakkapat Noisri dengan balingan sejauh 17.84m, manakala di Hanoi pada 2022, emas menjadi milik atlet Filipina, William Morrison dengan balingan 18.14m yang juga rekod temasya.

“Sekarang ini, kalau kita lihat memang ada yang memecahkan rekod kebangsaan tetapi itu bukan jaminan untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA 2025 nanti, Sukan Asia 2026 apatah lagi.

“Kalau nak cakap olahraga Malaysia sudah meningkatkan, buktikan di Sukan SEA nanti. Bagi dia (Tung) lari acara 5,000m atau 10,000m. Kena ingat, larian marathon tidak sama seperti temasya.

“Sebelum ini, Tung pecahkan rekod 3,000m yang sudah berusia 40 tahun tapi itu bukan sesuatu yang terlalu besar sebab acara itu tidak dipertandingkan pun di temasya dan sebab itu sudah 40 tahun tidak dipecahkan,” katanya.

Pekan turut berkata, sasaran yang lebih tinggi perlu diletakkan kepada skuad olahraga negara pada temasya kali ini memandangkan dua tahun lagi giliran Malaysia menjadi tuan rumah.-UTUSAN

KAPSYEN: Jonah Chang Rigan menjadi sandaran emas di Sukan SEA 2025.





Source link