Gelombang demonstrasi besar-besaran di Indonesia hujung Ogos dan Nepal dua hari lepas mengingatkan kita bahawa zaman demonstrasi konvensional sudah berlalu.
Hari ini, massa aksi berpadu dengan mobilisasi digital – tanpa pemimpin, parti politik dengan penggeraknya adalah gerombolan anak muda dan media sosial sebagai senjata yang membentuk naratif perlawanan.
Hari-hari terakhir ini ungkapan ‘like, share, retweet’ menjadi peluru yang menggoncang Indonesia dan Nepal dalam perang generasi baru.
Perang 5G (Fifth Generation Warfare, 5GW), jika peperangan konvensional (1GW hingga 4GW) menekankan senjata, strategi ketenteraan, gerila, dan terorisme, 5GW pula berakar pada dunia digital, media sosial, dan kecerdasan buatan (AI).
Perang maklumat, pandangan, dan persepsi yang membentuk naratif masyarakat dengan rakyat terutamanya anak muda menjadi askar tanpa sedar dengan menekan ‘like, share, retweet’. Matlamatnya adalah solidariti atau memetik penyair Indonesia Wiji Thukul, “Aku ingin jadi peluru”.

Lima belas tahun lalu, media sosial seperti Facebook dan Twitter (kini X) pertama kali digunakan sebagai alat mobilisasi ketika demonstrasi Arab Spring. Hari ini kecerdasan buatan (AI) dan video pendek TikTok memudahkan perang 5G melalui disinformasi – penyebaran berita palsu untuk mengelirukan lawan.
Sebagai contoh, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani menjadi sasaran kemarahan orang ramai selepas video beliau berucap mengatakan “guru beban negara” tersebar meluas sehingga diulas pelbagai pihak.
Tetapi hakikat sebenarnya ia adalah hasil teknik janaan deepface AI.
Ketika beliau membuat penjelasan, ia sudah terlambat–rumahnya diserbu dan dijarah oleh pendemo pada 31 Ogos.
Dan pada 9 September, Sri Mulyani yang menjadi menteri kewangan Indonesia selama 13 tahun, antara yang terbaik, digantikan dengan orang lain oleh Presiden Prabowo Subianto.
Sebenarnya apa yang terjadi di Indonesia pada Ogos adalah protes kenaikan cukai pintu 300 peratus di beberapa daerah seperti Pati di Jawa Tengah dan Bone di Sulawesi Selatan.
Demonstrasi ini disiarkan secara live di TikTok, berhari-hari, kerana setiap host TikTok yang buat live mendapat ‘gift‘ yang secara tidak langsung menggalakkan liputan.
Sokongan orang ramai menyebabkan demo di daerah menuju ke pusat bandar. Di Jakarta demo bermula 25 Ogos dan sampai ke puncaknya pada 28 Ogos selepas kematian Affan Kurniawan, penghantar makanan berusia 21 tahun yang dilanggar kenderaan polis ketika demonstrasi.
Kekecewaan rakyat yang lama terpendam berkaitan rapuhnya kelas menengah, kos sara hidup yang meningkat, pengangguran belia, dan kemewahan ahli politik yang menikmati elaun besar, kes menari dalam parlimen yang kemudiannya menjadi rumput di musim kemarau… menunggu api atau pemicunya sahaja.
Kematian Affan menjadi api atau pemicu dan meledakkan ‘tenaga’ yang tersimpan sekian lama seperti gempa bumi. Sehingga hari ini, 10 rakyat Indonesia akibat aksi massa hujung Ogos yang digambarkan oleh teman-teman media di Jakarta sebagai ‘Agustus (Ogos) Kelabu’.
Di Nepal pula, percikan perang 5G bermula apabila kerajaan pada Ogos melarang 26 platform media sosial – termasuk Facebook, Instagram, dan YouTube.

Langkah ini dianggap cubaan membungkam suara rakyat, terutama yang mengecam gaya hidup mewah anak-anak pemimpin politik. Hasilnya, ribuan anak muda turun ke jalan, membakar gedung parlimen dan rumah pegawai.
Tindakan keras polis meredakan tunjuk perasaan menyebabkan sekurang-kurangnya 19 nyawa, dan akhirnya memaksa Perdana Menteri KP Sharma Oli berundur pada 9 September. Larangan media sosial turut ditarik balik.
Persamaan aksi massa Indonesia-Nepal
Episod demonstrasi di dua negara ini memperlihatkan pola yang konsisten walaupun kedua negara itu memiliki latar belakang budaya, agama, politik dan geografi yang berbeza.
Anak muda Gen Z sebagai pelaku utama digerakkan oleh media sosial.
Isu utamanya – rasuah, nepotisme, dan ketidakadilan ekonomi – menjadi bahan bakar manakala kekerasan polis ketika mahu menyuraikan orang ramai menjadi sebagai pencetus eskalasi, yang disiarkan meluas secara live media sosial, yang kemudiannya membentuk naratif sekali gus melemahkan legitimasi kerajaan.
Dalam Perang 5G ini hukumnya adalah siapa yang menguasai naratif, dialah pemenang.

Demonstrasi di Indonesia dan Nepal menunjukkan bagaimana perang 5G ini dilaksanakan:
Pertama bagaimana maklumat (benar atau palsu) diubah menjadi senjata melalui hashtag–#polispembunuh di Indonesia, #nepokids di Nepal–meme, dan video pendek yang tersebar melalui media sosial dengan cepat mengatasi penerangan kerajaan atau pihak berautoriti yang menggunakan media tradisional, yang selalunya lambat.
Kedua mengolah persetujuan bersama – “mereka rasuah, kita rampas aset mereka”. Mesej di TikTok live yang ditonton ribuan orang menyiarkan alamat rumah ahli politik Indonesia dan Nepal dan mengajak orang ramai berdemo di sana. Kemudiannya terjadilah penjarahan dan kekerasan termasuk sehingga mengorbankan isteri seorang menteri di Nepal.
Ketiga, persepsi, vox populi, vox dei (suara ramai adalah suara tuhan), maka para demonstran boleh buat apa sahaja, termasuk membakar balai polis dan bangunan parlimen. Mereka beramai-ramai menjarah rumah ahli politik, memukul mereka di jalanan hanya kerana persepsi “rakyat hakim negara”.
Dalam perang 5GW, orang ramai boleh menjadi “askar tanpa sedar” apabila like, share, dan komen menyalakan api protes.
Pengajaran untuk Malaysia
Malaysia sedang berdepan isu yang serupa – kos sara hidup yang menghimpit, tuduhan rasuah, dan kekecewaan generasi muda terhadap reformasi yang dianggap terlalu perlahan.
Beberapa pelajaran penting daripada Jakarta dan Kathmandu:
1. Atasi ketidakadilan ekonomi dari awal – jurang kaya dan miskin perlu ditutup sebelum ia jadi bahan bakar kemarahan.
2. Jangan sekat media sosial – larangan hanya mempercepat letupan. Sebaliknya, literasi digital dan ruang dialog lebih efektif.
3. Reformasi polis dan SPRM – tindakan keras, tangkapan, ugutan tanpa sebab yang kukuh hanya mengikis legitimasi. SPRM dan institusi keselamatan mesti dilihat telus dan bertanggungjawab.
4. Libatkan Gen Z – mereka generasi digital yang mahukan partisipasi, bukan represi. Suara mereka perlu diberi ruang dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan.
Perang 5G di Jakarta dan Kathmandu membuktikan bahawa generasi muda kini memegang kunci perubahan politik. Mereka berjuang dengan senjata baharu – maklumat, pandangan, dan persepsi.
Bagi Malaysia, amaran sudah jelas: abaikan suara anak muda, dan ketidakstabilan boleh menular. Dari Reformasi 1998 hingga Bersih, sejarah membuktikan bahawa gerakan rakyat yang dipimpin anak muda mampu menggoncang landskap politik. Bak kata penganalisis politik Hishamuddin Rais, “hendak menang pilihan raya, kena turun jalan raya”.
Akhirnya dalam Perang 5G ini… siapa yang menguasai naratif, dialah yang akan menguasai masa depan.
HELME HANAFI adalah penulis dan wartawan veteran.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.