Malaysia Oversight

Isu kemasukan IPTA: Wee cuba tegakkan benang basah

By MkiniBM in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
Isu kemasukan IPTA: Wee cuba tegakkan benang basah


Pemuda Pahang mendakwa Presiden MCA Wee Ka Siong cuba menegakkan benang yang basah berhubung isu kegagalan seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Penerangan Pemuda Pahang, Mustaqim Zakaria berkata, sebagai ahli politik senior dan berpengalaman, Wee seharusnya meminta maaf dan tidak terus memainkan isu yang jelas tidak kena dengan perkara sebenar.

“Masalahnya sekarang dia seperti masih mahu ‘menegakkan benang yang basah’ di sebalik semua penjelasan diberikan pihak berkaitan.

“Mungkin Wee boleh mencari isu lain dan meminta maaf saja dengan pihak KPT dan UM.

“Janganlah gunakan isu ini sebagai bahan politik untuk membina persepsi tertentu terhadap proses kemasukan pelajar ke IPTA,” katanya dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, Wee mengadakan sidang media bersama pelajar cemerlang STPM, Edward Wong yang kecewa kerana tidak mendapat tempat di Universiti Malaya (UM), walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir menjelaskan bahawa keputusan permohonan dibuat Wong itu diproses sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dan ia bukanlah satu sistem baru, malah digunakan sejak sekian lama.

“Sistem UPU ini bukanlah sistem yang baru, Datuk Seri Wee Ka Siong sedia maklum dia pernah menjadi timbalan menteri pendidikan, bagaimana sistem UPU sudah pun digunakan sekian lama,” kata Zambry menerusi satu kenyataan, sehari selepas isu itu dibangkitkan Wee.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPT), Azlinda Azman kemudiannya dilaporkan berkata, meskipun Wong memperoleh PNGK 4.0 dengan merit 99.9 peratus, kedudukan permohonannya dalam program perakaunan berada jauh di belakang calon lain yang mencatat merit penuh 100 peratus.

“Sebagai contoh, di UM terdapat 2,291 permohonan layak dengan 1,127 merit penuh untuk program perakaunan.

“Calon berkenaan berada di kedudukan ke-1,129 sedangkan hanya 85 tempat disediakan untuk program tersebut,” kata Azlinda.

Bagaimanapun Wee tidak berpuas hati dengan penjelasan dibuat itu dan mendakwa hasil semakan laman rasmi universiti terbabit mendapati jumlah dipetik jabatan itu tidak sama dengan graduan direkodkan setiap tahun iaitu lebih 100.

Sementara itu, Mustaqim mendakwa Wee seolah-olah cuba mengelirukan orang ramai berhubung isu berkenaan.

Katanya, sikap ahli parlimen Ayer Hitam itu menggambarkan seolah-olah dia tidak faham prosedur pengambilan pelajar IPTA untuk kursus tertentu.

“Wee dilihat seperti cuba memancing simpati sedangkan penjelasan mengenai proses penilaian dan pengambilan pelajar sudah dilakukan pihak berkaitan.

“Dengan hanya menggunakan contoh satu kes pelajar yang gagal mendapat tempat, dia seperti tidak faham dan tidak memahami gambaran sebenar di lapangan,” katanya.



Source link