KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar, yang tergendala sejak sekian lama dilaksanakan secara serentak bagi fasa satu dan dua.
Baginda bertitah, langkah ini wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan timbulnya masalah apabila sekolah itu siap dan mula beroperasi kelak.
Titah baginda, langkah ini juga bertujuan bagi memastikan suasana pembelajaran tidak terjejas disebabkan oleh pergerakan keluar masuk kenderaan berat dan kerja-kerja kontraktor.
“Pelaksanaan serentak kedua-dua fasa ini akan memberi manfaat jangka panjang selain menjamin keselamatan pelajar, kelancaran operasi sekolah di samping mengelakkan pembaziran masa dan kos,” titah baginda pada Majlis Mengadap Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin di Dewan Kulliyyah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di sini, baru-baru ini.
SSM Perlis bakal menempatkan seramai 624 pelajar dan menjadi pusat kecemerlangan sukan zon utara dengan fokus cadangan awal melibatkan sukan badminton, bola sepak, bola jaring, olahraga, memanah, dan sepak takraw.
Beberapa sukan tambahan juga sedang dipertimbangkan termasuk hoki, ragbi, golf dan boling padang untuk fasa kedua bagi memberi pilihan lebih meluas serta peluang pengumpulan pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat semakan menyeluruh terhadap pelaksanaan aktiviti dan program di lima buah sekolah-sekolah sukan terdahulu di zon lain.
“Jika ada sebarang kelemahan atau kekurangan yang dikenal pasti boleh ditambah baik dan diterapkan di SSM Perlis supaya sekolah baharu ini kelak benar-benar muncul sebagai model terbaik dalam aspek pembangunan bakat sukan muda negara,” titahnya.
Di samping itu, baginda turut berkenan agar program tambah nilai seperti kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), persijilan profesional termasuk kejurulatihan, pengadilan serta penganjuran pertandingan secara berkala dapat dijadikan budaya di SSM Perlis.
Titah baginda, ini bukan sahaja dapat melahirkan atlet berprestasi tinggi namun turut memastikan pelajar mempunyai laluan kerjaya lebih luas selepas menamatkan pengajian untuk masa depan yang terjamin setelah bersara dari bidang sukan.
“SSM Perlis juga perlu menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementetian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) melalui agensi-agensi mereka yang berhampiran bagi menjamin keberkesanan pengurusan serta menjimatkan kos.-UTUSAN