Malaysia Oversight

‘Pemaju guna borang tinjauan raih persetujuan penduduk untuk projek PSB’

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 2 minute
'Pemaju guna borang tinjauan raih persetujuan penduduk untuk projek PSB'


Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir mendakwa ada pemaju tidak bertanggungjawab menggunakan taktik mengejutkan dalam memanipulasi persetujuan penduduk bagi projek pembangunan semula kawasan perumahan.

Katanya, hal ini berlaku meskipun Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) masih belum lulus.

Dakwaan itu, kata Mukhriz antara isu yang dikongsi oleh KL Residents Action for Sustainable Development (KLRA+SD) pada sesi meja bulat dan dialog RUU PSB anjuran Pejuang di ibu negara hari ini.

Mukhriz berkata penjelasan daripada KLRA+SD bukan sahaja menyentuh kandungan RUU PSB, malah menggambarkan realiti manipulasi terhadap pemilik rumah.

“Laporan kita dapat daripada persatuan penduduk amat mengejut yang mana mereka kata persetujuan itu dibuat melalui tandatangan kertas tinjauan. Ada satu borang yang ditanya apa kemudahan dikehendaki oleh seorang penduduk itu, contohnya ada kawasan (perlukan) tempat riadah ke, surau ke, nak lif yang lebih elok, ataupun kemudahan lain.

“Sudah tentu penduduk kawasan itu akan ‘tick’ yang mana dia suka, tapi di bawah borang itu penduduk diminta untuk tandatangan, tulis nombor kad pengenalan, dan di bawahnya ada ayat-ayat yang tak ditonjolkan kepada penduduk,” katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat itu.

Dia menegaskan kaedah itu jelas menafikan hak penduduk kerana tidak diberikan penjelasan yang telus.

“Kita kira ini satu kaedah yang sangat menidakkan hak penduduk kerana tidak diberi penjelasan yang baik, biasanya perkara sepenting ini perlu dijelaskan seterang-terangnya kepada penduduk dan walaupun ditandatangani mereka mesti ditanya adakah difaham apa yang ditandatangani, semua itu sepatutnya ada SOP.

“Tapi nampaknya pemaju dengan terang-terangan menipu pemilik unit-unit atau penduduk untuk tujuan komersial, itu salah satu daripada banyak lagi perkara dibuat oleh pemaju,” katanya.

Mukhriz turut memaklumkan wakil pembangkang dan NGO yang hadir sebulat suara menolak RUU PSB, yang sebelum ini ditangguhkan pada bacaan kedua di Dewan Rakyat. RUU tersebut dijangka kembali dibahaskan pada Oktober depan.

Menurutnya lagi, meskipun RUU PSB masih belum diluluskan, terdapat pendekatan pihak berkuasa tempatan yang berpotensi disalahgunakan pemaju di kawasan bernilai tinggi di sekitar Kuala Lumpur.

“Usaha-usaha mereka ini tentulah memberikan keuntungan besar dari segi komersial kepada pemaju tetapi pada waktu yang sama menekan dan menidakkan hak penduduk dan pemilik tanah sedia ada pada ketika ini di sekitar Kuala Lumpur.

“Inilah perkara kita nak ketengahkan, daripada hasil perbincangan ini kita rasakan bahawa bukan sekadar draf RUU PSB yang perlu ditambah baik, tetapi keputusan sebulat suara dalam perbincangan kita hari ini adalah RUU itu perlu ditolak sepenuhnya,” tegasnya.



Source link