Malaysia Oversight

Dari Pakistan ke Oxford: Kisah pelarian Raheel Ahmad

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 3 minute
Dari Pakistan ke Oxford: Kisah pelarian Raheel Ahmad


“Saya tidak membesar dengan nasib baik. Saya membesar dengan menjadi pelarian, bertahan hidup dan berharap,” kata Raheel Ahmad, berasal dari Pakistan ketika menggambarkan perjalanan hidupnya.

Pada usia sekitar 12 tahun, keluarganya terpaksa meninggalkan segalanya dan berhijrah ke Malaysia.

Mereka melarikan diri akibat penindasan terhadap komuniti mereka – kedai dirompak, rumah dibakar, saudara dipenjara, malah ada yang dibunuh.

Di sekolah pula, Raheel dibuli kerana identitinya: diejek, dipanggil dengan nama menghina, bahkan dipukul.

8e6147d4eaaedb7b6430eeb7e281f446

Tiba di Malaysia tanpa dokumen, keluarganya tidak mendapat sebarang pengiktirafan rasmi.

Ibunya terpaksa bekerja 12 jam sehari dengan gaji RM800 sebulan manakala keluarga Raheel hidup dalam sebuah bilik kecil tanpa perabot. Empat tahun pertama, mereka tidur di lantai dan makan pun di lantai.

Walaupun Malaysia memberi mereka keselamatan, hidup tetap terasa tanpa hala tuju.

“Saya masih ingat sekolah dianggap sebagai mustahil kerana saya tidak mampu,” kata Raheel.

Dignity bukan sekadar sekolah

Namun, “rezeki” hadir tanpa disangka apabila Raheel dan abangnya diterima masuk ke pusat pendidikan Dignity for Children Foundation, malah mendapat biasiswa Empower a Child.

Bagi ibunya, itu hadiah paling besar kerana dia tidak lagi perlu risau tentang pendidikan anak-anak.

“Di Dignity, saya bukan sekadar menemui bilik darjah, tetapi sebuah komuniti,” kata Raheel menjelaskan cabaran pertamanya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya masih ingat duduk di kelas berdiam diri, tidak mahu bertutur kerana saya tahu saya akan melakukan kesilapan, tetapi guru-guru percaya kepada saya,” kongsi Raheel.

8cb557ef01498196dc0edfb6c1fa0828

Guru-gurunya nampak potensi yang dia sendiri tidak yakin. Dengan bimbingan penuh sabar, akhirnya Raheel berjaya meraih gred A dalam Bahasa Inggeris.

Kemudian datang pula pandemik Covid-19 membawa ujian tersendiri. Tanpa WiFi dan ruang belajar, Raheel hampir berputus asa. Namun, melalui program asrama kecil (Live-In Program) anjuran Dignity, dia dapat belajar bersama rakan, berkongsi makanan, memasak, dan kembali merasakan erti komuniti.

“Di samping akademik, Dignity juga menyediakan kemahiran hidup seperti menggunting rambut dan menjahit pakaian,” katanya dengan harapan suatu hari nanti dia mampu menyara keluarganya.

Pendidikan di Dignity tidak serta-merta mengubah nasib keluarganya, tetapi ia mengubah tanggapan mengenai dirinya: bahawa dia juga punya tempat di dunia.

Oxford: Fasa baru

Kini Raheel menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang biokimia di Universiti Oxford, dengan impian menjadi saintis penyelidik yang mahu menyumbang manfaat kepada umat manusia. Lebih besar daripada itu, dia berhasrat membantu pelarian lain mendapat akses ke pendidikan tinggi – kerana hanya 7 peratus pelarian di dunia berjaya ke universiti.

Dengan biasiswa yang sangat terhad – hanya dua atau tiga pelajar di seluruh dunia dipilih setiap tahun – Dignity membantu dalam urusan visa serta kutipan dana. Kini, Raheel sedang menapak ke fasa hidup barunya di United Kingdom.

Bagi Raheel, Dignity bukan hanya sekolah, tetapi “keluarga kedua” yang menemaninya, menukar perjalanan dengan nasib malang kepada harapan kehidupan baru.

Tanpa sokongan Dignity, jelasnya dia tidak mungkin menamatkan pengajian A-Levels, apatah lagi menjejakkan kaki ke Oxford.

“Hidup saya dulu penuh dengan kemiskinan, penolakan, dan kesakitan. Tetapi mungkin nasib bukan tentang peluang semata-mata.

“Sementara itu, ia (tentang) siapa yang menemui anda ketika anda sesat dan mengiringi anda sehingga anda jumpa jalan itu semula,” kata Raheel lagi.



Source link