Malaysia Oversight

Sistem demerit diperluas kepada ketua pengarah jabatan kerajaan mulai 2026

By Utusan in September 10, 2025 – Reading time 2 minute
Sistem demerit diperluas kepada ketua pengarah jabatan kerajaan mulai 2026


: Penggunaan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) akan mula diperluaskan kepada semua ketua pengarah jabatan atau agensi mulai tahun hadapan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, DEEP bukan bertujuan menghukum penjawat awam tetapi menjadi mekanisme untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

“Penilaian itu bukan sahaja mengambil kira aspek demerit apabila berlaku kesilapan, malah memberi re-merit jika pegawai menunjukkan prestasi baik atau mendapat pengiktirafan daripada masyarakat.

“Sebelum ini, pelaksanaan DEEP hanya kepada Ketua Setiausaha (KSU) agensi , namun kini ia akan diperluaskan kepada ketua pengarah dan pengarah-pengarah perkhidmatan serta jabatan setiap agensi awam,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Penilaian Strategik Setahun ARPA Tahun 2025, di sini hari ini.

Katanya, perluasan itu selaras dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bagi memastikan tadbir urus lebih berkesan dan peningkatan prestasi yang menyeluruh dalam setiap peringkat perkhidmatan awam.

Shamsul Azri berkata, keputusan penilaian DEEP juga memberi kesan kepada kenaikan gaji tahunan kerana ia dibuat berdasarkan prestasi sebenar.

“Sistem ini akan memberi impak kepada kenaikan gaji tahunan. Jika seseorang pegawai tidak menunjukkan prestasi baik, maka tiada kenaikan gaji. Namun DEEP bukan bertujuan menghukum, sebaliknya untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ARPA, Skuad Pemantau atau Flying Squad ARPA akan ditubuhkan sebagai langkah pemantauan yang lebih kreatif, terselaras dan berkesan.

“Skuad pemantau khas ini akan menjalankan pemantauan di lapangan melalui mystery shopping bagi menilai kualiti perkhidmatan, tahap pematuhan peraturan serta mengumpul maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

“Pasukan ini juga akan diterajui bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau Madani,” katanya. – UTUSAN

 

 





Source link