PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) menawarkan kira-kira 150 hingga 160 tempat bagi setiap kemasukan pelajar ke program perakaunan dengan 85 daripadanya adalah melalui proses saringan Unit Pusat Universiti (UPU).
Menurut Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, daripada jumlah keseluruhan itu, 28 tempat juga akan diisi oleh calon daripada program ‘feeder’ UM, manakala selebihnya iaitu kira-kira 30 hingga 50 tempat melalui Saluran Terbuka UM (SATU).
“Kalau kita lihat dalam UPU ini ada tiga kategori iaitu kategori pertama adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan juga asasi selain daripada UM.
“Kategori kedua adalah pelajar lepasan diploma dan ketiga adalah kategori program feeder iaitu mereka daripada Universiti Malaya.
“Maka, 85 tempat itu datangnya dari UPU, 28 pula daripada feeder UM dan lebih kurang 30 hingga 50 tempat melalui saluran terbuka (direct intake),” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Noor Azuan turut menjelaskan tawaran 28 tempat bagi kategori program feeder UM itu merupakan amalan biasa yang diberikan oleh UPU kepada pihak universiti untuk memilih calon daripada kalangan lepasan asasi yang memenuhi merit diperlukan.
Mengulas mengenai isu perbezaan antara jumlah pelajar yang diterima bagi program berkenaan dan jumlah graduan, beliau meminta agar perkara tersebut dilihat secara holistik.
“85 tempat itu datangnya dari UPU dan keseluruhan menjadi 113 tempat dengan 28 daripada feeder UM. Beliau (Wee Ka Siong) mengatakan tak sama dengan graduan yang keluar, kita kena tengok secara holistik, sebagai contoh tahun 2024, graduan yang keluar lebih kurang 150 hingga 160 orang.
“Sebab itu kita ada saluran yang dikenali sebagai saluran terbuka di mana kita tawar 30 hingga 50 tempat dan akhirnya menjadi antara 150 hingga 160 tempat untuk diisi,” jelasnya.
Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa pengambilan terbuka UM bukan lah dipilih secara automatik kerana calon masih perlu membuat permohonan melalui saluran tersebut sebelum ia disaring secara ketat berdasarkan ranking, sama seperti pengambilan UPU.
“Direct intake ini bersyarat dan meritnya sama seperti UPU tetapi (tawaran) dikeluarkan selepas daripada tarikh rayuan.
“Dalam surat jelas menyatakan bahawa tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tarikh rayuan itu dibuat, jadi calon bagi 30 hingga 50 tempat ini ditapis berdasarkan ranking, kita akan lihat siapa yang terbaik.
“Kita kena ingat nama sahaja saluran terbuka tetapi ini bukan lah saluran yang diberi secara automatik, tidak sama sekali. Ia adalah saluran yang perlu dimohon kemudian (tapisan) mengikut ranking sama seperti proses UPU,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan tawaran 85 tempat yang boleh diisi calon bagi program perakaunan di UM, sedangkan jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun di bawah program itu sejak 14 tahun lalu melebihi 100 orang.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laman web UM, jumlah graduan yang dihasilkan di bawah program perakaunan secara puratanya adalah tiga digit setiap tahun, sejak 2011 hingga 2024, dengan ada tahun yang mencecah hampir 200 orang. – UTUSAN