Malaysia Oversight

MB tolak tukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun membidas beberapa NGO yang dilaporkan sedang melobi agar nama Port Dickson ditukar kepada Pantai Dermaga dikatakan bagi membuang kaitan penjajah.

Aminuddin yang juga ahli parlimen Port Dickson itu menyifatkan cadangan berkenaan sebagai selektif.

“Saya dimaklumkan beberapa NGO yang diketuai oleh Pertubuhan Pemerkasaan Identiti (IDENTITI) bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

“Bagi saya, kalau nak tukar nama, tukarlah semua sekali, janganlah Port Dickson saja… Port Klang kita tukar, Kuala Lumpur kita tukar, Georgetown (Pulau Pinang), kenapa satu-satu… lambat,” sindirnya.

c82a953135d6058f6b578d43a1e6b356

Beberapa kumpulan termasuk Identiti, Isma, Gabungan Nasionalis (GN) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela (Pembela) dilaporkan merancang untuk melancarkan petisyen awam berhubung perkara ini, dengan alasan nama “Dickson” membawa bebanan kolonial.

Pada sidang parlimen lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mencetuskan perdebatan apabila menggunakan hujah sama untuk mencadangkan menukar nama bunga Rafflesia (bunga Pakma nama dalam bahasa Melayu).

Mengulas lanjut, Aminuddin menegaskan Port Dickson sejak sekian lama sudah membawa identitinya sendiri sebagai bandar peranginan terkenal.

“Kenapa pula Port Dickson jadi sasaran. Port Dickson dikenali sebagai pantai peranginan yang dikenali dunia, malah sejak saya dilahirkan, pantai itu telah dikenali sebagai Port Dickson.

“Terpulang kepada mereka, saya dimaklumkan mereka nak buat (sidang media) 15 September ini. Tapi bagi saya kalau nak buat (tukar), buatlah satu negara. Kalau satu-satu sukar pihak pemetaan nak uruskan,” perli menteri besar itu lagi.



Source link