Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa kerajaan secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
Menerusi satu kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menyebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, telah membentangkan model-model pengasingan tersebut sebelum ia dipersetujui kabinet.

“Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ia menyebut, keputusan ini diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Azalina.
Bagi tujuan ini, kerajaan akan menggubal pindaan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42, bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Selain itu, satu rang undang-undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus bagi meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.
Kerajaan juga akan mewujudkan undang-undang baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, seumpama Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

Kenyataan itu juga menyebut Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan berkenaan dibuat secara berfasa dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
Justeru, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui BHEUU, bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan aspek pelaksanaan, termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.
Syor lengkap hasil perincian ini akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan lanjut.
Menurut kenyataan itu, langkah bersejarah ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang di bawah Kerajaan Madani.
“Ia bertujuan mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang, dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” kata kenyataan itu lagi.