Senator DAP, Dr A Lingeshwaran mendesak kerajaan memperketatkan Akta Racun 1952 dengan memperkukuh larangan penanaman ketum.
Selain itu, dia juga mendesak Putrajaya mengklasifikasikan sejenis bahan bius, etomidate di bawah Akta Dadah Berbahaya, dan bukan lagi di bawah Akta Racun, bagi memastikan kawalan lebih ketat.
Etomidate biasanya digunakan dalam prosedur perubatan tertentu, seperti merawat sendi yang terkehel. Kesan sampingan paling biasa termasuk rasa sakit ketika suntikan dan pergerakan otot rangka yang bersifat sementara.
“Kedua-duanya merupakan isu mendesak yang melibatkan keselamatan rakyat, kesihatan awam dan masa depan generasi muda negara,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Menyentuh soal ketum, Lingeshwaran berkata walaupun Akta Racun menjenayahkan pemprosesan, pengedaran dan penggunaannya, undang-undang tersebut tidak jelas mengenai penanamannya.
Katanya, ini menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kelompongan undang-undang ini sehingga menjejaskan kerja penguatkuasaan.
“Tanpa larangan penanaman, usaha membanteras sindiket akan terus terbantut, sementara masyarakat menanggung kesan sosial dan kesihatan yang serius,” dakwa Lingeshwaran.
‘Patut ikut Singapura’
Berhubung etomidate, pemimpin DAP itu berkata kerajaan Singapura mengambil tindakan tegas selepas pihak berkuasa negara itu mendapati salah satu daripada tiga cecair vape yang diuji mengandungi bahan tersebut.
Bahan itu, dakwanya turut dikaitkan dengan punca kemalangan jalan raya.
“Sebagai langkah proaktif, (negara jiran Singapura) telah mengklasifikasikan etomidate sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, berkuat kuasa 1 September 2025,” kata Lingeshwaran.
Sebaliknya, senator DAP itu berkata Malaysia masih menyenaraikan etomidate di bawah Akta Racun – sesuatu yang dianggap tidak mencukupi memandangkan peningkatan penyalahgunaan “Kpods” dalam kalangan belia. “Kpods” merujuk kepada cecair vape yang didakwa dicampur dengan etomidate.
“Saya menggesa agar Kementerian Kesihatan segera meneliti semula status etomidate dan meletakkannya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, supaya kawalan lebih ketat dapat dilaksanakan dan pencegahan dapat diperkukuhkan,” tegasnya.