Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa telefon awam di dua blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, telah ditutup selama dua hari bermula 16 Julai lepas, iaitu selepas insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu didedahkan oleh pengawal keselamatan sekolah berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja tersebut.
Shahlan: Puan, boleh saya tahu bagaimana pelajar-pelajar di sana menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Mereka guna telefon awam…ada juga yang pinjam telefon saya”.
Shahlan: Mereka guna duit syiling?
Linah: Tidak…mereka guna kad. Kalau baki dalam kad tiada, mereka terpaksa guna telefon bimbit pengawal (saya dan seorang lagi).
Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai, adakah pelajar-pelajar sekolah itu dapat menghubungi ibu bapa mereka?
Linah: Telefon awam ditutup selama dua hari, dua malam… sebab takut budak-budak telefon ibu bapa.
Shahlan: Macam mana telefon awam boleh ditutup?
Linah: Suis ditutup.
Shahlan: Siapa yang tutup?
Linah: Ketua warden suruh tutup.
Terdahulu, saksi memberitahu bahawa beliau menemukan Zara Qairina dalam keadaan terlentang di longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada tengkuk, kira-kira 3 pagi pada 16 Julai lepas.
Pada akhir prosiding hari ini, Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan bahawa beliau bersama pasukan pendakwa raya, peguam dan pakar patologi Dr Jessie Hiu akan melawat lokasi kejadian di sekolah berkenaan pada 9.30 pagi esok.
Bagaimanapun, katanya pengamal media tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah semasa lawatan. Prosiding akan bersambung semula di mahkamah selepas lawatan tersebut.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
– Bernama