IPOH: Perak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 bagi memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di negeri ini agar lebih teratur, berkesan dan mampu memenuhi cabaran zaman.
Undang-undang itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang pindaan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan setelah dibahaskan oleh 15 Ahli DUN kerajaan dan pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan penghargaan kepada semua ADUN termasuk pembangkang yang menyokong Enakmen baharu tersebut yang akan menggantikan peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
“Walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung butiran teknikal dan pelaksanaan, namun asasnya semua pembahas berkongsi hasrat yang sama.
“Iaitu memelihara martabat pendidikan Islam dan memperkukuh peranan sekolah agama sebagai medan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya semasa menggulungkan RUU tersebut di sini hari ini.
Semasa membentangkan RUU itu semalam, Saarani berkata, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang mengawal pendaftaran dan urus tadbir sekolah-sekolah agama Islam di negeri ini tidak pernah dipinda lebih dua dekad lalu, sehingga didapati banyak peruntukan sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan realiti semasa.
Beberapa pindaan dan penambahbaikan telah dibuat berbanding Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 sedia ada.
Antaranya, peruntukan ditambahbaik dengan memasukkan beberapa tafsiran perkataan baharu seperti tafsiran ‘Ketua Pendaftar’ yang merujuk kepada jawatan utama yang mengetuai organisasi pendaftaran sekolah, dan tafsiran ‘premis’ bagi merangkumi apa-apa bangunan yang digunakan sebagai tempat yang berkaitan dengan sekolah.
Selain itu penambahbaikan tafsiran ‘sekolah’ bertujuan untuk memastikan perkataan tersebut merangkumi semua kategori sekolah agama Islam termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Saarani berkata, kaedah-kaedah pelaksanaan undang-undang baharu itu kelak akan dirangka oleh pihak berkuasa agama negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).
Malah katanya, sesi libat urus boleh dibuat bersama pihak berkepentingan seperti Jemaah Pengurusan Sekolah, wakil guru, wakil pentadbir sekolah.
“Ahli Yang Berhormat juga boleh dilibatkan dalam sesi libat urus bagi memberi pandangan kaedah atau mekanisme yang sesuai untuk dimasukkan dalam kaedah-kaedah yang digubal bagi memastikan kelancaran pelaksanaan undang-undang.
“Dalam sesi libat, ahli Yang Berhormat boleh mencadangkan tatacara yang difikirkan sesuai seperti syarat-syarat, tempoh masa, penubuhan dan pendaftaran sekolah.
“Termasuk tatacara tindakan menutup sekolah yang melanggar undang-undang, termasuklah syarat-syarat yang perlu bagi mengawal sekolah daripada diresap atau terlibat dengan fahaman yang menyeleweng faham atau akidah,” katanya.
Mengenai SABK, Saarani berkata, penguatkuasaan undang-undang baharu itu juga tidak akan membatalkan MoU sedia ada yang telah dimeterai di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS).
“Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan menganaktirikan sekolah agama yang telah mendaftar sebagai SABK memandangkan LPS tetap tertakluk kepada undang-undang ini.
“Kerajaan Negeri tetap berperanan membantu sekolah dan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di peringkat negeri kelolaan JAIPk mahu pun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Jelasnya, antara sebab kenapa tafsiran sekolah ditambah baik dalam RUU itu adalah bagi memastikan semua sekolah agama termasuk SABK dapat dikawal di bawahnya. – UTUSAN