Malaysia Oversight

Majlis Peguam sokong undang-undang khusus kawal pusat jagaan kanak-kanak

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 2 minute
Majlis Peguam sokong undang-undang khusus kawal pusat jagaan kanak-kanak


Majlis Peguam menyokong gesaan supaya diwujudkan undang-undang khusus bagi mengawal selia pekerja pusat jagaan kanak-kanak, berikutan insiden penderaan dan kematian yang semakin membimbangkan.

Presidennya, Ezri Abdul Wahab dalam satu kenyataan media, hari ini, berkata cadangan itu penting untuk memperkukuh akauntabiliti, mencegah kecuaian, serta melindungi kebajikan kanak-kanak.

“Kerangka bagi memprofesionalkan pekerja pusat jagaan – disokong dengan pemantauan telus dan berkesan – bukan sahaja akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah membina kepercayaan awam dan yang paling penting, melindungi kanak-kanak,” katanya.

6e2843787d0f839b58d7ec14d515eda8

Ezri mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai tanggungjawab mengikat selepas meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak.

“Dengan berbuat demikian, Malaysia telah komited untuk menegakkan prinsip yang termaktub dalam Konvensyen, khususnya Artikel 3(1), yang mengkehendaki dalam semua tindakan melibatkan kanak-kanak – sama ada oleh institusi kebajikan awam atau swasta, mahkamah, pihak berkuasa pentadbiran, atau badan perundangan – kepentingan terbaik kanak-kanak mesti menjadi pertimbangan utama.

“Komitmen ini menuntut negara memastikan undang-undang, dasar, dan amalan sejajar dengan perlindungan serta kebajikan kanak-kanak, menjaga hak mereka, dan memastikan suara serta kepentingan mereka berada di barisan hadapan dalam proses membuat keputusan,” tambahnya.

021c73c1df3e74de61064cb0dd19c2b8

Bagaimanapun, dia mengingatkan sebarang rang undang-undang mesti digubal dengan teliti agar jelas, boleh dikuatkuasakan, dan adil. Ini termasuk piawaian latihan yang jelas, keperluan pelesenan atau pendaftaran, serta mekanisme pemeriksaan dan penguatkuasaan yang telus.

“Adalah sama penting bahawa perlindungan proses wajar turut dimasukkan, agar pekerja dilayan dengan adil dan hak mereka terpelihara, sambil akauntabiliti terus ditegakkan,” kata Ezri.

Dia turut menggesa melibatkan pelbagai pihak berkepentingan – termasuk ibu bapa, masyarakat sivil, profesional jagaan kanak-kanak, dan pakar undang-undang – sebelum memuktamadkan sebarang draf undang-undang.

“Penggubalan undang-undang yang mengawal pekerja pusat jagaan kanak-kanak bukan sahaja harus menangani isu keselamatan dan akauntabiliti segera, tetapi juga mencerminkan komitmen jangka panjang Malaysia untuk membina masyarakat di mana kanak-kanak diberi setiap peluang untuk berkembang maju,” tambahnya.

Gesaan ini susulan cadangan Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) minggu lalu yang menuntut undang-undang baharu selepas beberapa kematian di pusat jagaan.

Ahli majlis itu, Karen Tan, berkata dalam kebanyakan kes, lesen pengendali akan dibatalkan, namun penjaga yang bersalah biasanya boleh terus bebas bekerja di pusat lain.

“Undang-undang sebegini akan membantu mengawal kes kecuaian dan penderaan dengan memastikan penjaga bertanggungjawab, sambil meningkatkan piawaian industri melalui penetapan tanda aras yang jelas,” katanya seperti dipetik media.



Source link