Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar mengesahkan tidak ada rakyat Malaysia terkesan dalam kejadian letupan di Legtaifiya yang berlaku akibat serangan regim Israel ke atas pejabat pemimpin Hamas.
Kedutaan dalam satu kenyataan pada Selasa, walau bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar untuk terus berjaga-jaga dan menjauhi kawasan kejadian.
“Mereka juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui sumber-sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar,” menurut kenyataan di laman rasmi Facebook kedutaan.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Qatar juga telah memberi jaminan bahawa keadaan kini adalah terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara berkenaan tidak akan ditutup.
Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh menghubungi Kedutaan melalui: emel: [email protected] atau talian: +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan talian: +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).
Media melaporkan rejim Zionis pada Selasa melancarkan serangan ke atas bangunan kediaman pemimpin Hamas ketika perunding kumpulan itu sedang membincangkan cadangan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan.
– Bernama