Malaysia Oversight

Buli boleh bermula dari ‘didikan’ hormat senior

By MkiniBM in September 10, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Budaya hierarki antara senior dan junior di sekolah sering dianggap sebagai tradisi untuk menanam rasa hormat, membina semangat kekitaan, dan mengeratkan hubungan antara pelajar.

Namun, tanpa kawalan yang jelas, sistem itu berisiko menjadi pemangkin kepada budaya buli – suatu masalah yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan.

Seorang kaunselor berdaftar, Kimberly Tiong Khoong Ling, berkata tradisi sekolah seperti program orientasi, ragging, atau “hormat senior” boleh membawa kebaikan jika dilaksanakan dengan bimbingan yang betul.

Katanya, pada sisi positif, ia boleh menjadi ruang untuk pelajar senior membimbing junior melalui perkongsian pengalaman dan nasihat.

“Tetapi apabila wujud ketidakseimbangan kuasa dan tiada sempadan yang jelas, ia mudah disalahgunakan untuk menekan atau memaksa junior,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiong yang kini mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang kaunseling menambah, amalan itu mungkin membawa kepada situasi takut bersuara termasuk jika melibatkan perbuatan membuli.

f1d97393347e9f8fdd91cbab14c39fef
Kimberly Tiong Khoong Ling

Keadaan itu, katanya, boleh berlaku kononnya atas nama “junior mesti menghormat senior”.

“Apabila kuasa diberikan tanpa soal, ada senior yang mengeksploitasinya. Junior pula takut melawan kerana bimbang dianggap biadab, dipulaukan, atau jadi sasaran balas dendam.

“Lama-kelamaan, mereka percaya bahawa mempertahankan diri daripada dibuli atau mengadu kepada pihak yang berkenaan adalah tanda tidak menghormat senior,” katanya.

Seorang lagi kaunselor berdaftar, Lee May Fen, berkata perbuatan membuli boleh dibezakan daripada gurauan melalui tindakan yang bukan usikan biasa, sebaliknya tingkah laku agresif yang sengaja dilakukan secara berulang.

Fitnah, sebar gambar palsu

Selain itu, katanya, perbezaan utama di antara gurauan dan buli ialah wujudnya ketidakseimbangan kuasa sehingga mangsa tidak mampu mempertahankan diri.

“Buli membawa kesan psikologi kepada mangsa seperti tekanan emosi, kemurungan dan rendah diri, manakala gurauan secara suka sama suka tidak mengancam maruah individu,” katanya.

Tambah Lee, kaedah membuli juga berubah mengikut kecanggihan teknologi pada hari ini, dengan kes paling banyak dilaporkan di Malaysia ialah buli lisan dan buli siber, terutama dalam kalangan pelajar di sekolah.

“Ejekan melibatkan rupa dan nama adalah bentuk buli lisan paling kerap.

“Buli siber pula melibatkan fitnah dan penyebaran gambar palsu, malah ada yang dihasilkan dengan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Bagi pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nellie Ismail, penyebaran gambar palsu di media sosial juga sering dilakukan oleh senior sebagai ugutan kepada junior yang mengingkari arahan mereka di sekolah.

Dia yang bertugas di Fakulti Ekologi Manusia UPM dengan kepakaran psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja menjelaskan, ada langkah lain yang wajar diambil oleh pihak sekolah untuk mengekalkan semangat hormat-menghormati antara senior dan junior tanpa mewujudkan ruang kepada penyalahgunaan kuasa atau buli.

7836b117a07e12473304582dca458986
Nellie Ismail

“Pihak sekolah perlu meningkatkan kesedaran pelajar tentang budaya hormat menghormati secara sihat yang berdasarkan adab dan tingkah laku positif, bukannya semata-mata kerana kuasa,” katanya.

Tindakan awal, katanya, dapat mengelakkan masalah kecil berkembang menjadi kes buli yang serius.

Dia juga percaya pengawasan yang ketat di pihak sekolah dapat mengekang perbuatan buli, manakala guru dan warden perlu mengambil tindakan pantas jika terhidu ada sesuatu yang tidak kena berlaku.



Source link